mutakhir

Berkorban selamatkan ubi kayu

Oleh Siti Rohana Idris

HUJAN sejak beberapa hari lalu menyebabkan seorang penanam ubi kayu terpaksa menggali tanaman itu bagi menyelamatkannya daripada tenggelam.

Latifah Yusof, 54, dari Kampung Naga Ibu, Tumpat, berkata dia berulang-alik dari rumah ke kebun ubi kayunya di Kampung Kubang Sawa sejak tiga hari lalu bagi mengeluarkan tanaman supaya ia tidak rosak.

Menurutnya, dia akan menaiki perahu bersama suaminya, Berahim Deraman, 55, dengan ditemani beberapa anak mereka yang menaiki perahu lain menuju ke kebun seluas 0.5 hektar itu.

“Kebun itu sejauh kira-kira satu kilometer dan kami mendayung perahu menerusi laluan di sawah padi yang sudah ditenggelami air.

“Sudah tiga kali kami mencabut ubi kayu, namun banyak juga yang sudah rosak dan menjadi buruk kerana tenggelam dalam air.

“Walaupun dalam keadaan hujan lebat sekalipun, kami tetap perlu menggali ubi kayu bagi mengelakkan kerugian lebih banyak,” katanya.

Ubi kayu yang dicabut dijual sekitar kampung pada harga RM1 untuk satu kilogram.

Bukan sahaja dijual secara mentah, ubi kayu itu juga dibuat tapai dan dijual dengan harga RM2 sebungkus.

Katanya, walaupun pendapatannya tidak seberapa, namun dia amat bersyukur kerana sekurang-kurangnya tanaman itu tidak banyak yang rosak.

Disiarkan pada: December 20, 2018 @ 1:12pm
d