mutakhir

Mana mau lari...

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

BERSEMBUNYI di sebalik sampah bahan binaan bagi mengelak ditahan pihak berkuasa. Itu antara gelagat pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam Operasi Tapak Bilangan 21 (Op Tapak 21) menerusi serbuan di dua tapak pembinaan, semalam.

Malah, ada antara mereka bertindak terjun ke dalam kolam takungan untuk melarikan diri sejurus anggota penguat kuasa menyerbu tapak pembinaan di Jalan Bistari Mutiara dan Jalan Metro Perdana 6, Kuala Lumpur.

Operasi bersepadu itu dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bermula jam 9 pagi hingga 2 petang.

Pengarah Penguatkuasa DBKL Azman Mahmood berkata, hasil pemeriksaan dilakukan di dua tapak pembinaan itu mendapati syarikat kontraktor mengupah PATI sebagai buruh binaan.

“Dalam operasi itu, seramai 167 pekerja asing diperiksa dan daripada jumlah itu, 104 PATI termasuk lapan wanita berusia 25 hingga 40 tahun yang berasal dari Indonesia, Bangladesh serta India ditahan.

“Mereka didapati melakukan kesalahan salah guna pas, tiada dokumen sah dan tinggal lebih tempoh.

“Semua yang ditahan diserahkan kepada JIM untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azman berkata, pihaknya turut menyita satu daripada tapak pembinaan berkenaan kerana didapati melanggar syarat kelulusan dikeluarkan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

“Tapak itu disita mengikut Seksyen 70 (13) Akta Parit, Jalan dan Bangunan. Syarikat terbabit perlu membayar RM150,000 jika mahu membuka tapak pembinaan berkenaan.

“Selain itu, pihak bomba turut mengeluarkan dua notis mengikut Seksyen 2C Akta Perkhidmatan Bomba (Pindaan 2018) dan Seksyen 2D akta sama kerana sistem pam pancur basah serta sesalur naik tidak berada dalam keadaan baik,” katanya.

Disiarkan pada: December 20, 2018 @ 5:13pm
d