mutakhir

Rahsia di sebalik 'dinding' coklat

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PEMILIK kedai aksesori wanita dikesan menggunakan helah menyembunyikan barang tiruan dalam bilik rahsia yang dijadikan stor di premisnya di sebuah pusat jualan borong di Jalan Gelugor, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar selepas pemeriksaan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, semalam.

Dalam operasi bermula kira-kira jam 1 tengah hari itu, pelbagai beg tangan dan dompet tiruan berjenama ditemui disembunyikan dalam stor di premis berkenaan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kuala Lumpur Low Swee Hon berkata, ketika serbuan dilakukan, pemilik kedai memaklumkan tiada stor di dalam premis berkenaan.

“Namun, pemeriksaan lanjut menemui dinding berwarna coklat yang mencurigakan. Anggota terbabit menolak ‘dinding’ berkenaan yang juga pintu masuk stor di dalam premis terbabit.

“Pemeriksaan di dalam stor itu menemui beg tangan dan dompet tiruan pelbagai jenama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Swee Son berkata, pihaknya turut membuat serbuan di dua premis lain di pusat jualan borong terbabit dan merampas 1,407 beg tangan dan dompet tiruan pelbagai jenama.

“Kami merampas sebanyak 799 beg tangan dan dompet tiruan jenama Louis Vuitton; 180 (Gucci); 80 (Yves Saint Laurent); 341 (Channel) dan tujuh (Balenciaga) yang dianggarkan bernilai RM56,376.

“Kesemua beg tangan dan dompet tiruan yang dirampas dibawa ke stor sitaan KPDNHEP bagi tindakan lanjut mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Disiarkan pada: December 20, 2018 @ 5:26pm
d