mutakhir

JBPM Perak buat majlis tahlil untuk Adib

Oleh Balqis Jazimah Zahari

SERAMAI 150 anggota dan pegawai bomba menyertai majlis tahlil Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Meru Raya di Ipoh, hari ini.

Majlis dimulai dengan solat Zohor dan solat hajat memohon kesejahteraan keseluruhan anggota bomba sebelum bacaan Yassin dan tahlil yang diketuai Pegawai Kanan II, Jamaludin Mohd Amin.

Selain itu, program berkenaan turut dipadatkan dengan aktiviti gotong-royong memasak pada sebelah pagi.

Timbalan Pengarah JBPM negeri, Sayani Saidon dan Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Utara, Mohd Rizal Buang, serta beberapa wakil media turut menyertai majlis bacaan tahlil berkenaan.

Katanya, majlis diadakan sebagai menzahirkan dukacita dan semangat solidariti atas kehilangan beberapa anggota sebelum ini termasuk Muhammad Adib serta bagi kesejahteraan pasukan dalam menjalankan tugas pada masa akan datang.

“Melalui program ini (bacaan tahlil) dapat kita bersama-sama mengingati bahawa peristiwa ini adalah sangat besar dan tidak pernah terjadi dalam sejarah negara tetapi ia telah berlaku.

“Ini menunjukkan bahawa jabatan bomba sendiri mengalami satu perubahan daripada segi corak cabaran yang kami hadapi dan tidak dijangka sehingga mengakibatkan kehilangan anggota,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan.

Sayani berkata, program itu juga menzahirkan semangat satu pasukan dalam jiwa warga bomba untuk bersama-sama menempuhi walaupun apa sahaja rintangan yang diterima dan tetap memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Beliau berkata, pihaknya turut menghargai sokongan dan kerjasama rakan media selama ini dalam memberi laporan berkaitan kes dan bidang tugasan yang dilakukan pasukan itu.

“Laporan yang dibuat oleh media sekurang-kurangnya menjadi pengubat dan mengurangkan cemuhan masyarakat (yang tidak mengetahui situasi sebenar).

“Apabila kita melihat musibah demi musibah yang menimpa kepada anggota, ia sekali gus memberi kesedaran dan masyarakat kini semakin lebih memahami peranan anggota bomba yang bertugas tanpa mengira batas dan di luar bidang,” katanya.

Mengenai kes kebakaran di Puncak Jelapang sehingga mengorbankan empat remaja bawah umur baru-baru ini, beliau berkata ia memerlukan kajian lebih terperinci yang perlu dilakukan membabitkan pelbagai pihak.

“Setakat ini, kita sudah membuat penyiasatan tetapi laporan belum dapat dikeluarkan lagi kerana kami mengambil satu pendekatan untuk mengadakan siasatan lebih terperinci membabitkan kerjasama JBPM dan polis.

“Jadi, hasil siasatan itu belum dapat kita maklumkan kerana ada beberapa langkah lagi yang perlu diperhalusi, kita perlu mengambil pendekatan lebih teliti sebelum melaporkan penemuan siasatan,” katanya.

Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib

Disiarkan pada: December 20, 2018 @ 6:04pm
d