mutakhir

Tonto guna dron intip penguat kuasa JPJ

Oleh Yusmizal Dolah Aling

SELEPAS taktik mengekori kenderaan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dihidu pihak berwajib sejak beberapa tahun lalu, tonto kini dikesan menggunakan dron untuk memantau pergerakan anggota dan pegawai melakukan rondaan serta operasi.

Lebih canggih dan tidak dapat dikesan, mereka menggunakan teknologi kamera berkuasa tinggi yang dipasang pada peranti untuk mengawasi pergerakan pihak berkuasa keluar ke lokasi tugasan hampir setiap hari.

Perkara itu didedahkan Presiden Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK), Mohammad Hisham Shafie yang mendapat maklumat mengenai sindiket berkenaan yang semakin aktif mengekori dari udara bagi memastikan mereka terlepas daripada sekatan dijalankan.

Beliau berkata, cubaan menghalang operasi penguat kuasa JPJ membahayakan pengguna jalan raya di negara ini kerana kebiasaannya yang ingin dilindungi itu adalah kenderaan berat dan lebih muatan yang boleh mendatangkan risiko kemalangan.

“Sindiket ini akan memantau di beberapa kawasan berdekatan pejabat JPJ. Sebelum ini, mereka akan berada di tepi jalan bersama kenderaan pacuan empat roda bagi menghalang kerja penguat kuasa sehingga berlaku kemalangan.

“Sejak beberapa bulan lalu, pemerhatian PPJK mendapati isu tonto ini seperti tidak selesai, malah mereka semakin agresif untuk mengekori pihak berkuasa.

“Selain bahaya kepada keselamatan anggota, kami bimbang berlaku kemalangan membabitkan orang ramai,” katanya.

Mohammad Hisham berkata, perkara itu akan dibawa ke perbincangan bersama Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dalam masa terdekat selain beberapa isu keselamatan jalan raya yang lain.

Beliau berkata, seperti isu lori parkir di bahu jalan sebelum ini, pihaknya menggesa pihak berwajib mencari mekanisme terbaik bagi menyelesaikan isu keselamatan jalan raya secara menyeluruh dan bukannya selepas sesuatu kejadian berlaku.

“Isu penghadang jalan, struktur jalan rosak dan kenderaan diubahsuai pun kami akan bawa. Sudah sampai masanya pengguna jalan raya mendapat pembelaan sewajarnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ Datuk Shaharuddin Khalid berkata, pihaknya sedia maklum mengenai isu terbabit dan meletakkan anggota penguat kuasa dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Beliau berkata, ia sebahagian daripada cabaran penguat kuasa yang mempertaruhkan nyawa untuk berkhidmat kepada masyarakat dan tidak akan mematahkan semangat JPJ untuk terus menjalankan tugas sebaik mungkin.

Disiarkan pada: December 20, 2018 @ 8:29pm
d