mutakhir

'Angkat politik muafakat demi rakyat'

Oleh Yusmizal Dolah Aling

“SAYA bercita-cita untuk mengangkat politik muafakat ini demi kepentingan lebih besar iaitu rakyat. Pemilihan ahli tadi pun berlangsung dalam erti kata suara muafakat keluarga, walaupun berbeza dari segi politik, parti dan pandangan, tetapi kami ada tanggungjawab lebih besar untuk rakyat.

“Jawatankuasa ini akan membantu agenda reformasi Parlimen seperti dibuat di Dewan Rakyat sebelum ini, kita akan lihat perkara bersifat kebebasan institusi Parlimen kerana mungkin sebelum ini, masyarakat tidak nampak fungsi besar yang dimainkan Dewan Negara,” kata Senator Yusmadi Yusoff.

Beliau dipilih secara sebulat suara sebagai Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara hari ini yang berperanan menambah baik peranan Dewan Negara untuk membawa isu membabitkan kepentingan rakyat, sama seperti Dewan Rakyat.

Katanya, beliau menganggap pemilihan itu sebagai satu peluang untuk memberikan fokus kepada tiga aspek iaitu kebebasan institusi parlimen, pengurusan dan pentadbiran serta budaya politik baru melangkaui kepartian dan kelompok tertentu.

“Dewan Negara sebenarnya penting dalam membangkitkan isu rakyat dan ia boleh menjadi platform semak dan imbang apa juga langkah kerajaan dalam membangunkan negara dengan mengambil kira keperluan rakyat.

“Ini masanya kita perlu mengangkat peranan ini seperti sepatutnya. Di dalam Perlembagaan pun, kedudukan Dewan Negara adalah lebih dulu daripada Dewan Rakyat selepas Yang di-Pertuan Agong. Jadi kita kena buat betul-betul. Antara lain kita lihat masih ada isu perjawatan kakitangan parlimen yang tidak diuruskan sewajarnya dan kita akan perhalusi perkara ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ahli jawatankuasa berkenaan yang lain termasuk Datuk Seri Khairuddin Samad, Ismail Yusop, Datuk Fahariyah Mohd Nordin, Asmak Husin, Khairul Azwan Harun, Datuk Seri Ti Lian Ker, Nga Hock Cheh, Adrian Banie Lasimbang, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah, Datuk Theodore Douglas Lind, Datuk Paul Igai dan Datuk Dr S Ananthan.

Sementara itu, Ananthan berkata, jawatankuasa berkenaan akan memastikan segala permasalahan rakyat dirujuk sebaiknya demi kepentingan bersama dan ia berperanan menasihati kerajaan dalam pelbagai isu berkaitan.

“Saya ucapkan terima kasih dengan pemilihan sebagai ahli. Sudah tentu saya akan tunaikan tanggungjawab ini sebaik mungkin,” katanya yang juga Pengerusi MIC Kedah.

Disiarkan pada: December 20, 2018 @ 8:37pm
d