mutakhir

Artis pameran Morphosis sumbang RM45,120

Oleh Samadi Ahmad

KUMPULAN media bersepadu terbesar di Malaysia, Media Prima Berhad (MPB) menyampaikan sumbangan hasil kutipan artis pameran Morphosis anjuran NSTP berjumlah RM45,120 kepada Tabung Harapan Malaysia (Tabung Harapan), hari ini.

Sumbangan disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif, The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) Datuk Seri Abdul Jalil Hamid yang mewakili MPB kepada Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.

Amiruddin ketika ditemui berkata, kerajaan mengucapkan tahniah kepada MPB kerana mengambil inisiatif menganjurkan program bagi membantu Tabung Harapan.

Menurutnya, program diadakan itu sangat baik kerana selain program amal, ia juga dapat mengetengahkan bakat artis baharu yang membina nama dalam bidang seni lukis di negara ini.

“Setakat ini kerajaan menerima RM198 juta hasil sumbangan orang ramai, syarikat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu menyelesaikan hutang negara dan menyasarkan kutipan RM200 juta sebelum tabung itu ditutup hujung bulan ini,” katanya pada sidang media selepas menerima sumbangan di pejabatnya di Putrajaya.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Henry Butcher Art Auctioneers Sim Polenn, Pengurus Besar Kumpulan Jabatan Komunikasi Korporat MPB Azlan Abdul Aziz dan Pengurus Besar Komunikasi Komersial Strategik NSTP Jeannie Leong.

Sumbangan itu adalah sebahagian hasil jualan yang dikumpulkan daripada program Morphosis, pameran seni kebajikan anjuran bersama Galeri Prima dan Curate Henry Butcher sempena sambutan Bulan Merdeka 2018 dan kempen #KitaPunya MPB.

Pameran yang diadakan di Galeri Prima daripada 27 Ogos hingga 16 September lalu membabitkan 88 pelukis tempatan melalui penceritaan transformasi negara bermula dari 1957 hingga kini daripada perspektif masing-masing.

Sementara itu, Abdul Jalil berkata, program berkenaan diadakan bersempena sambutan bulan kemerdekaan negara dengan mengambil tema transformasi negara selepas merdeka hingga hari ini.

Menurutnya, 1,100 pengunjung hadir termasuk orang kenamaan manakala artis paling muda yang menyertai program itu berusia 23 tahun.

Katanya, 40 peratus daripada hasil jualan disumbang bagi membantu Tabung Harapan termasuk seorang pelukis yang menyumbang semua hasil jualannya kepada tabung berkenaan.

“Tahun hadapan, kami bercadang menganjurkan projek amal dengan kerjasama Henry Butcher bagi membantu NGO atau pihak yang memerlukan bantuan,” katanya.

Disiarkan pada: December 20, 2018 @ 9:28pm
d