mutakhir

Undi Parlimen Tasek Gelugor dikira semula

Oleh Siti Sofia Md Nasir

MAHKAMAH Pilihan Raya hari ini membenarkan permohonan pengiraan semula undi bagi Parlimen Tasek Gelugor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Hakim Datuk Hashim Hamzah menetapkan perkara itu dan mengarahkan supaya semua salinan Borang 14 bagi kerusi berkenaan diserahkan untuk diteliti Penolong Pendaftar Mahkamah Tinggi.

“Proses membuka semua 136 salinan Borang 14 dari semua kawasan Parlimen, akan dilakukan di hadapan peguam kedua-dua pihak di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 2 Januari hadapan,” katanya.

Prosedur itu akan menentukan jumlah undi tepat yang diterima setiap calon yang bertanding di kerusi Parlimen Tasek Gelugor.

Bulan lalu, Mahkamah Persekutuan mengarahkan perbicaraan bagi petisyen difailkan Timbalan Menteri Luar, Senator Datuk Marzuki Yahya yang tewas di kerusi Parlimen Tasek Gelugor pada PRU-14.

Beliau turut memohon supaya semua salinan Borang 14 dibuka untuk pengiraan semula di hadapan mahkamah.

Borang 14 atau dikenali sebagai Borang Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi mengandungi maklumat seperti senarai calon bertanding, nama parti dan jumlah undi.

Tanpa Borang 14 berserta tandatangan Ketua Tempat Mengundi, pengesahan mengenai kemenangan calon pilihan raya tidak boleh diisytiharkan.

Pada 12 Jun lalu, Marzuki memfailkan petisyen dengan menamakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya sebagai responden pertama, pegawai pilihan raya Tasek Gelugor sebagai responden kedua dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) responden ketiga.

Marzuki meminta mahkamah mempertimbangkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan di kerusi Parlimen Tasek Gelugor dan mengira semula undi diperoleh Shabudin yang hanya memiliki majoriti hanya 81 undi.

Shabudin menang sebagai calon Barisan Nasional (BN), sebelum beliau bertindak keluar parti minggu lalu.

Disiarkan pada: December 21, 2018 @ 5:10pm
d