mutakhir

Tubuh NFCC tangani aliran keluar wang haram [METROTV]

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

PUSAT Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) akan ditubuhkan pada pertengahan tahun depan dalam usaha menangani isu pengaliran keluar wang secara haram.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Negara (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, isu berkenaan perlu diberi perhatian serius kerana ia membabitkan kerugian berbilion ringgit setiap tahun.

Beliau berkata, penubuhan pusat itu akan digerakkan menerusi kaedah pelbagai agensi (multi agency) dan mesyuarat penyelarasan agensi itu akan diadakan, hari ini.

“Kita harap ia mula beroperasi secepat mungkin selepas undang-undang dibuat. Walau bagaimanapun, kerajaan sudah bersetuju melantik satu pasukan diketuai seorang pegawai kanan kerajaan untuk memastikan pembentukan dan perjalanannya.

“Pusat ini diharap dapat dilaksanakan pada pertengahan tahun depan menerusi penyelarasan agensi berkaitan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen Malaysia dan Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Taklimat Laporan Pencapaian Akhir Tahun Usaha-usaha Memerangi Rasuah di Malaysia Jun-Disember 2018 di Putrajaya, hari ini.

Penubuhan NFCC adalah satu daripada 61 inisiatif yang sedang dibincangkan serta diputuskan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) pada Jun hingga Disember ini.

Mengenai undang-undang pembiayaan politik, Abu Kassim berkata, perkara itu sedang diteliti GIACC bersama Pejabat Peguam Negara.

“Kita sedang perincikan undang-undang itu, dan berharap ia dapat disiapkan dalam tempoh terdekat.

“Kita jangkakan dalam tahun depan, ia siap diperincikan dan dibentang pada sesi pertama Parlimen tahun depan,” katanya.

Disiarkan pada: December 21, 2018 @ 5:13pm
d