mutakhir

Dua maut motosikal bertembung

Oleh Farah Suhaidah Othman

DUA penunggang motosikal maut selepas dipercayai bertembung sesama sendiri di Jalan Taiping - Selama berhampiran Taman Kamunting Mutiara, di Taiping, hari ini.

Dalam kejadian pada 8.56 pagi itu, Mohd Shafarulnizam Mat, 35, dan Mohd Shaafiee Saidin, 59, tahun maut di lokasi kejadian.

Seorang lagi penunggang motosikal berusia 25 tahun yang turut terbabit dalam kemalangan itu cedera.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisiomer Mohamad Taib berkata, siasatan awal mendapati penunggang berusia 35 tahun dan seorang lagi penunggang berusia 25 tahun dalam perjalanan dari Batu Kurau menghala ke Taiping manakala seorang lagi penunggang datang dari arah bertentangan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, Mohd Shaafiee dipercayai memasuki laluan bertentangan secara tiba-tiba mengakibatkan seorang daripada penunggang motosikal yang berada di laluan itu tidak sempat mengelak.

“Kejadian itu mengakibatkan kedua-dua motosikal berkenaan bertembung manakala seorang lagi penunggang yang berada di laluan sama mengelak, namun terbabas di tepi jalan,” katanya ketika dihubungi di Taiping, hari ini.

Mohamad berkata, akibat kemalangan itu, dua penunggang berkenaan mengalami parah di kepala sebelum disahkan maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi cedera.

“Mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik, Hospital Taiping untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan.

“Hasil bedah siasat mendapati kedua-dua mangsa maut akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: December 21, 2018 @ 5:52pm
d