mutakhir

TH dipantau supaya pendeposit tak panik

Oleh Safuri Kamarudin

UMAT Islam di negara ini diminta tidak panik susulan langkah pemantauan yang akan dilakukan Bank Negara Malaysia (BNM) ke atas Tabung Haji (TH) demi memastikan agensi itu ditadbir urus lebih baik.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, isu bahawa urusan TH akan dicampuri orang bukan Islam tidak timbul kerana beliau sendiri akan bertanggungjawab memastikan institusi itu diselia dengan rapi.

“Saya masih menteri Islam, tidak timbul sebenarnya. Malah kita akan pastikan TH ditadbir urus dengan baik mengikut tata kelola kewangan BNM.

“Kita akan memantau perjalanan TH supaya tidak timbul perasaan panik dalam kalangan pendeposit yang berurusan dengan institusi itu sejak sekian lama,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada 300 pelajar pada program kembali ke sekolah di Dewan Badminton Kupang di Baling, hari ini.

Amiruddin berkata, dua fungsi utama TH iaitu pengurusan haji dan subsidi haji akan diselia secara teliti, sekali gus memastikan keuntungan TH bertambah baik pada masa hadapan.

“BNM mempunyai rekod yang baik dalam menguruskan kewangan, jadi setiap keuntungan akan diberikan dalam bentuk hibah kepada pendeposit TH.

“Tidak timbul soal mencampuri urusan institusi itu, malah BNM tidak akan terbabit dalam tugas TH mengawal selia jemaah haji ke Tanah Suci,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pendirian DAP yang sedia keluar dari Pakatan Harapan (PH) susulan tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menerima pemimpin UMNO yang melompat parti, beliau berkata ia tidak menjadi isu kerana PH berpegang kepada persetujuan bersama.

“Dalam politik kita berpegang kepada perkara yang dipersetujui bersama, malah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan menerima bulat-bulat kerana hanya yang mempunyai rekod baik dan tidak bermasalah diterima.

“Kita pula menerima mereka yang mempunyai rekod yang baik dan bersih, sekali gus membuktikan PH diterima untuk mendokong perjuangan rakyat,” katanya.

Disiarkan pada: December 21, 2018 @ 6:39pm
d