mutakhir

Daifnya hidup lima beranak...

Oleh Mohd Khidir Zakaria

AKIBAT kesempitan hidup, lima beranak terpaksa menumpang teduh di rumah tinggal di Mantin, Nilai, dalam keadaan serba kekurangan termasuk tiada bekalan elektrik dan air sejak sebulan lalu.

Ibu tunggal, Suraya Ahmad, 36, mendakwa tinggal di situ bersama empat anak berusia tiga hingga 16 tahun termasuk seorang anak perempuan lembam.

“Saya tiada pilihan kerana tidak mampu membayar sewa rumah disebabkan tidak bekerja tetap sejak ditinggalkan suami tiga tahun lalu. Saya diceraikan suami ketika anak bongsu masih dalam perut dan hingga sekarang terpaksa hidup berpindah-randah.

“Kami hanya bergantung hidup dengan bantuan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) sebanyak RM400 sebulan yang diberi kepada anak perempuan saya berusia 16 tahun yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU). Dia juga sebenarnya menghidap penyakit buah pinggang.

“Saya mempunyai dua anak yang bersekolah masing-masing perempuan dan lelaki berusia 13 dan 12 tahun, manakala yang bongsu adalah lelaki berusia tiga tahun.

“Selain perbelanjaan sekolah, paling merisaukan saya ialah pengangkutan mereka dan saya sendiri kerana kami tidak mempunyai kenderaan.

“Ketiadaan kenderaan juga menyukarkan saya untuk ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban bagi mengambil ubat anak dan mendapatkan bantuan lain termasuk daripada Baitulmal. Kadang-kadang kos pengangkutan lebih mahal daripada nilai barangan yang hendak diambil,” dakwanya.

Dia ditemui ketika menerima bantuan berupa barangan makanan daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) di rumahnya, hari ini.

Katanya, selain menerima bantuan JKM, mereka juga menerima bantuan Baitulmal berupa baucer barangan makanan sebanyak RM80 untuk tempoh tiga bulan.

“Saya amat berharap mendapat bantuan rumah yang mempunyai kadar sewa murah dan peluang kerja yang sesuai. Sementara ini saya melakukan kerja membersihkan kediaman tetapi sukar untuk memberi komitmen disebabkan lokasi rumah yang jauh dan tiada kenderaan,” katanya.

Sementara itu, Presiden PERKASIH N9, Norfadilah Mansor berkata, pihaknya cuba membantu dengan menyumbang barangan makanan.

“Insya-Allah, PERKASIH N9 akan menyenaraikan keluarga ini dalam senarai keluarga asnaf yang perlu dibantu. Dalam masa terdekat, dua anaknya akan diberi bantuan ‘Back To School’. Kami akan berusaha membantu mereka keluar kerana rumah tinggal tanpa bekalan elektrik dan air ini menyukarkan mereka.

“Orang ramai boleh menyumbang kepada keluarga ini melalui nombor akaun Bank Simpanan Nasional (BSN)

11500-29-00022459-5 (Suraya Ahmad) atau menghubungi saya, Norfadilah di talian 012-9805132 untuk maklumat lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: December 21, 2018 @ 7:52pm
d