mutakhir

Kedai servis kenderaan terbakar

Oleh Nor Azizah Mokhtar

SEBUAH kedai servis kenderaan di Jalan Burung Tiong, Taman Bukit Maluri, Kepong, terbakar menyebabkan sebahagian premis itu rosak, hari ini.

Bomba yang menerima laporan kejadian pada 6.23 petang, menggerakkan dua jentera pemadam dan sebuah kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang dan Sri Hartamas ke lokasi kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, berkata kebakaran membabitkan rumah kedai dua tingkat berkeluasan 18.5 meter persegi.

“Kebakaran hanya membabitkan bahagian bawah rumah kedai terbabit yang dijadikan sebagai tempat servis kenderaan.

“Kejadian tidak membabitkan mangsa dan siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran. Jumlah kerugian masih dalam disiasat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Balakong, dua pokok tumbang di Jalan Taming B/1 Off Lebuh Taming, Taman Taming Jaya susulan hujan lebat dan angin kencang menyebabkan laluan terhalang, petang hari ini.

Jurucakap JBPM Selangor menerusi satu kenyataan, hari ini berkata, lima anggota dari BBP Tun Hussein Onn dikejarkan ke lokasi sejurus menerima laporan pada 7.40 malam.

“Bomba menggunakan gergaji rantai dan parang untuk memotong dan mengalihkan batang pokok tumbang itu.

“Kejadian tidak membabitkan mangsa atau kerosakan harta benda awam,” katanya.

Disiarkan pada: December 21, 2018 @ 9:30pm
d