mutakhir

Air mata gembira si ibu

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

“BERDERAI air mata apabila diberitahu dua anak dipilih menerima bantuan persekolahan itu,” kata Salmah Hamzah ketika ditemui pada Program Fisabilillah TRG Back To School 3.0 di Kuala Terengganu. hari ini.

Wanita berusia 47 tahun itu mengakui terharu apabila dua anaknya Syamsul Saiful, 14, dan Shairah Saiful, 10, dipilih menerima bantuan keperluan persekolahan itu selepas dia runsing memikirkan persiapan mereka kerana kesempitan wang.

“Saya dalam proses pemulihan selepas terbabit kemalangan Ogos lalu dan tidak dapat berkerja, sekali gus hilang punca pendapatan.

“Memang berasa susah hati kerana dua anak akan berdaftar masuk sekolah tidak lama lagi.

“Persiapan persekolahan pula belum dibuat, makan dan minum mengharapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan,” katanya yang kematian suami, Saiful Ismail, 44, kerana demam panas pada 2010.

Menurutnya, selepas suaminya meninggal dunia, dia bekerja sebagai jurujual dengan pendapatan RM800 sebulan dan ia hanya cukup untuk makan dan minum.

Katanya, sewa rumah RM260 sebulan sudah empat bulan tertunggak kerana dia tidak boleh berkerja ketika ini dan bernasib baik kerana penyewa memahami kesulitan dialaminya ketika sekarang.

“Kami sekeluarga memang memerlukan bantuan, justeru apabila dua anak terpilih menerima bantuan itu saya berasa lega dan sangat bersyukur.

“Saya gembira tengok dua anak teruja memilih pakaian dan kelengkapan sekolah pada program itu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Fisabilillah TRG Wan Safari Wan Ahmad berkata, pihaknya memperuntukkan RM60,000 untuk menjayakan program itu pada tahun ini.

Beliau berkata, program berkenaan dianjurkan buat kali ketiga dan membabitkan 400 penerima terdiri daripada anak yatim dan miskin di semua daerah.

“Seramai 300 penerima sudah menerima sumbangan sama pada minggu lalu dan bakinya seramai 100 penerima pada program hari ini.

“Dana digunakan itu diperoleh daripada sumbangan orang ramai yang bersimpati dengan nasib golongan fakir miskin dan anak yatim.

“Jumlah penerima meningkat pada setiap tahun dan penerima dipilih berdasarkan penelitian dijalankan Fisabilillah TRG,” katanya.

Disiarkan pada: December 21, 2018 @ 11:23pm
d