mutakhir

Penyamun tengkujuh

Oleh Sharifah Mahsinah Abdullah

MACHANG: Jika penduduk negeri ini sibuk mengemas barang berharga mereka sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh baru-baru ini, sekumpulan pembalak haram dipercayai anggota sindiket curi balak mengambil peluang untuk memotong balak berkualiti tinggi seperti meranti dan balau.

Lebih menarik, pembalak haram membina gelongsor diperbuat daripada papan untuk melepaskan kayu ditebang dari kawasan tinggi ke kawasan rendah.

Modus operandi mereka dikesan dalam satu rondaan dilakukan sepasukan enam anggota penguat kuasa daripada Jabatan Perhutanan Kelantan.

Pasukan diketuai Mohd Shukri Aziz melakukan serbuan di Hutan Simpan Ulu Sat di sini, pada 5 Disember lalu dan menemui empat gelongsor yang digunakan oleh anggota sindiket itu. Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat dalam serbuan itu.

Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan (Unit Operasi) Mohd Nizum Mohd Nor berkata, pasukan itu membuat serbuan jam 11 pagi itu selepas mensyaki sesuatu apabila mereka melihat beberapa kawasan hutan menjadi lapang.

“Beberapa lelaki berjaya melarikan diri ke dalam hutan ketika serbuan itu dilakukan. Selepas memeriksa kawasan itu, pasukan menjumpai empat gelongsor di beberapa lokasi yang dibina lelaki terbabit, disyaki ahli sindiket pembalakan haram.

“Gelongsor itu sepanjang 500 meter dan selain gelongsor, mereka menemui tiga tan kayu siap dipotong termasuk kayu meranti dan balau.

“Kami menjangkakan nilai semua kayu itu lebih RM30,000. Beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memotong kayu turut dirampas,” katanya.

Katanya, siasatan menunjukkan pembalak haram yang dipercayai warga tempatan menggunakan gelongsor itu untuk menurunkan kayu yang siap dipotong dari kawasan tinggi ke kawasan rendah selepas memotong kayu itu dari pokok berhampiran.

Mohd Nizum berkata, siasatan menunjukkan pembalak haram juga disyaki penagih dadah, menjual kayu dengan harga tinggi kerana nilai komersial kayu berkenaan.

“Jenis kayu seumpama ini biasanya digunakan untuk membuat rumah atau hiasan perabot kayu yang berkualiti tinggi,” katanya.

Menurutnya, jabatan berkenaan percaya pembalak haram setakat ini berjaya memotong lebih 30 pokok dan semua pokok itu meliputi kawasan seluas lapan hektar.

“Kami masih mengesan pembalak yang melarikan diri itu dan juga ketua mereka. Kami percaya mereka semua bekerjasama dengan penduduk tempatan yang lain untuk melakukan kerja haram itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Datuk Zahari Ibrahim berkata, kegiatan seumpama itu masih berlaku walaupun lesen untuk melakukan aktiviti pembalakan dan aktiviti hutan yang lain dibekukan pada musim tengkujuh.

“Walaupun lesen dibekukan dari 15 November hingga 15 Januari, pegawai penguat kuasa jabatan berjaya mengesan kegiatan licik mereka ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 22, 2018 @ 11:10am
d