mutakhir

Wira atas gunung

Oleh Junaidi Ladjana

RANAU: Bukan sahaja berhadapan kes kecemasan, malah perlu mengerah segala tenaga jika mangsa diselamatkan mempunyai berat lebih 100 kilogram (kg) untuk dibawa turun dari puncak Gunung Kinabalu yang berketinggian 4,095.2 meter dari aras laut.

Itu antara cabaran dilalui Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Mencari dan Menyelamat di Gunung (MOSAR) yang bertugas
di Gunung Kinabalu, bukan sahaja perlu memiliki kekuatan fizikal dan stamina tinggi, malah ketahanan mental serta emosi sepanjang masa.

Kegigihan anggota PBB MOSAR yang diwujudkan pada 22 Jun 2015, iaitu tidak lama selepas tragedi gempa bumi mengorbankan 19 nyawa di Gunung Kinabalu disaksikan sendiri wartawan Harian Metro bersama jurugambar Ryan Stanley yang mengikuti Pelaksanaan Audit Gerak Kerja PBB MOSAR di gunung berkenaan, baru-baru ini.

Pendakian turut disertai Pengarah Bomba Sabah Kamarulzaman Malik Abdullah, Ketua Zon Kudat Sahidih Mahali serta Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau Jimmy Lagung dan enam anggota PBB MOSAR bagi memantau keadaan keselamatan pendaki.

Pemerhatian mendapati keadaan pendaki baik cuma ada beberapa individu berasa mual dan muntah, namun beransur pulih dengan pertolongan cemas anggota PBB MOSAR.

Anggota PBB MOSAR Harris Gimbad, 34, berkata menjadi anggota pasukan itu sangat mencabar selain memerlukan kesabaran bagi memberi khidmat kepada pendaki yang datang dari setiap pelosok dunia dengan gelagat dan perilaku yang kadangkala boleh mencabar kesabaran.

“Kekuatan fizikal, emosi dan stamina tinggi penting memandangkan setiap situasi kes yang dikendalikan memerlukan tenaga, apatah lagi berat mangsa ada yang mencecah 130kg untuk dibawa turun dari gunung dengan permukaan laluan yang bahaya, curam dan licin, selain suhu mencecah paras negatif,” katanya.

Rakannya Francis Suati, 32, berkata mengangkat pendaki yang memiliki berat badan lebih 100kg adalah pengalaman tidak dapat dilupakan sejak bertugas sebagai PPB MOSAR.

“Ketika itu, kami tidak mempunyai anggota yang mencukupi untuk mengangkat mangsa dan saya bersama beberapa rakan mengerah segala kudrat untuk mangsa yang tercedera ketika pendakian, untuk turun dari puncak gunung.

“Semuanya dilakukan secara berhati-hati walaupun begitu mencabar.

“Bukan itu sahaja, kami juga adakalanya membuat operasi menyelamat dua kali dalam tempoh sehari,” katanya sambil memaklumkan bekerja dalam hujan dan denai licin memerlukan taktik dan tenaga yang baik bagi mengelak kejadian buruk.

Feliks Taimin, 42, yang menjadi malim gunung sejak 2003 pula berkata, banyak pengalaman diperoleh berkaitan kebombaan dan penyelamatan sejak menyertai PBB MOSAR.

“Cabaran utama sebagai PBB MOSAR apabila operasi membawa mangsa dalam keadaan cuaca buruk atau hujan lebat, sesuatu yang sukar digambarkan namun demi keselamatan pendaki ia perlu dilaksanakan sebaiknya,” katanya.

Disiarkan pada: December 22, 2018 @ 11:25am
d