mutakhir

Pencuci bangunan tergantung di tingkat 33

Oleh Fazrik Kamarudin

DUA pekerja pencuci bangunan berdepan detik cemas apabila gondola yang digunakan untuk mencuci sebuah hotel di Persiaran KLCC, di Kuala Lumpur, rosak mengakibatkan seorang daripada mereka tergantung di tingkat 33 hari ini.

Kedua-dua pekerja berkenaan bagaimanapun berjaya diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur menerusi satu kenyataan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.57 pagi.

“Sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak dengan kekuatan 5 orang anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Pasukan bantuan dari BBP Hang Tuah dengan kekuatan lapan orang anggota bersama satu unit jentera ‘Aerial Ladder Platform’ (ALP) turut diarahkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi mendapati seorang pekerja pencuci bangunan berusia lingkungan 30-an tergantung dengan memakai abah-abah keselamatan di tingkat 33 manakala mangsa kedua yang juga berusia lingkungan 30-an tersangkut di dalam gondola di tingkat satu,” katanya.

Beliau berkata, menurut kenyataan mangsa, gondola terbabit mengalami masalah teknikal ketika kerja mencuci bangunan dijalankan.

“Tindakan pasukan bomba melakukan penyelamatan menggunakan kaedah ‘ascending’ iaitu menaikkan mangsa pertama ke tingkat 34 yang mempunyai ruang akses.

“Bagi mangsa kedua Pasukan Bomba menggunakan ALP, kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan pada jam 11:49 pagi,” katanya.

Disiarkan pada: December 22, 2018 @ 2:20pm
d