mutakhir

Henti berbalah... - Anwar

Oleh Syalikha Sazili

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk menghentikan perbalahan sebaliknya memberi tumpuan terhadap pembangunan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, perbalahan terbuka sama ada antara pemimpin atau di dalam parti perlu dihentikan segera, di samping permuafakatan PH untuk diperkukuh melalui saluran parti.

Katanya pemimpin parti perlu meredakan suasana sekali gus mengelak daripada terus mengeluarkan kenyataan negatif.

“Saya mengamati beberapa kenyataan pemimpin PH mutakhir ini, termasuk dari Parti Keadilan Rakyat.

“Dalam suasana sedia ada, memahami keadaan kos sara hidup yang terus membelenggu rakyat, saya menggesa agar semua pemimpin PH memberikan tumpuan khusus ke arah menjana pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan keselesaan rakyat.

“Rakyat sentiasa memerhati kita dan ruang serta peluang yang sedikit saja ini adalah untuk membuktikan PH benar-benar mampu merubah nasib rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, timbul perbalahan antara pemimpin PH berhubung isu desakan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy meletak jawatan.

Disiarkan pada: December 22, 2018 @ 10:34pm
d