mutakhir

Tragedi hari keluarga

Oleh Mohd Khidir Zakaria

HARI keluarga bertukar tragedi apabila kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemui lemas dalam kolam renang di resort di Batu 12, Jalan Pantai di Port Dickson, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, Mohammad Adam Raiyan Mohd Saiful disedari hilang oleh ibu bapanya yang juga anggota tentera pada 2.45 petang.

"Terdahulu, mangsa dan keluarganya menyertai majlis hari keluarga yang turut dihadiri kira-kira 50 orang lain di hotel berkenaan.

"Dia dipercayai terjatuh ke dalam kolam renang dewasa sebelum disedari hilang. Sebaik ditemui terapung dalam kolam itu, dia dikejarkan ke Hospital Port Dickson untuk rawatan kecemasan.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia 4.16 petang," katanya dalam kenyataan di Port Dickson, malam tadi.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dituntut ahli keluarganya sebelum dibawa pulang ke rumahnya untuk dikebumikan di Masjid Tanah, Melaka.

Disiarkan pada: December 23, 2018 @ 8:01am
d