mutakhir

Tsunami: Tiada rakyat Malaysia terbabit

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

TIADA rakyat Malaysia dilaporkan terbabit setakat ini dalam insiden kejadian ombak besar akibat tsunami yang melanda kawasan pantai sekitar Selat Sunda di antara kepulauan Sumatera dan Jawa, Indonesia, semalam.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam satu kenyataan semalam berkata, pihaknya akan terus memantau kejadian ombak besar di Banten, Jawa dan Lampung, Sumatera itu dengan rapi dan memberikan maklumat sewajarnya berhubung insiden itu dari semasa ke semasa.

“Rakyat Malaysia yang terjejas dan memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Pegawai Bertugas di talian +62 813 80813036 ,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, pihak berkuasa tempatan pagi semalam mengesahkan bahawa kejadian gelombang dan ombak besar yang berlaku di pesisiran pantai Lampung Selatan, Sumatera dan Pandeglang, Serang dan Cilegon di Banten, Jawa kira-kira 9.20 malam semalam (waktu tempatan) adalah gelombang tsunami.

“Kejadian tsunami dipercayai disebabkan oleh tanah runtuh dalam laut susulan letusan gunung berapi Anak Krakatau yang terletak di Selat Sunda.

“Gunung berapi ini mengalami letusan kecil sejak kebelakangan ini.

“Tsunami ini menyebabkan sekurang-kurangnya 43 kematian dan hampir 500 mangsa cedera. Sehingga kini, tiada laporan diterima mengenai rakyat Malaysia terbabit dengan kejadian ini,” katanya.

Lagi berita berkaitan Tragedi Tsunami Sunda

Disiarkan pada: December 23, 2018 @ 12:16pm
d