mutakhir

Beraninya abang Bomba...

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

“KETIKA turun dari aras bumbung, perkara pertama yang saya lakukan adalah menenangkan mangsa, kerana keadaannya pada masa itu tidak tenang disebabkan sudah tergantung hampir dua jam,” kata pegawai Bomba, Mohd Syakir Shaahuddin.

Mohd Syakir adalah anggota Bomba dari Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Kuala Lumpur yang menyelamatkan dua pekerja pencuci bangunan selepas gondola yang digunakan untuk mencuci hotel di Persiaran KLCC, di Kuala Lumpur, rosak, seterusnya menyebabkan seorang daripada mereka tergantung di tingkat 33, hotel itu.

Menurutnya, dia yang sudah berkhidmat selama 12 tahun bersama pasukan penyelamat itu mengambil keputusan untuk turun ke tingkat 33 menggunakan tali dari aras bumbung.

“Pada ketika itu saya lihat keadaan seorang daripadanya yang berada di tingkat 33 dalam keadaan tidak tenang dan gelisah.

“Saya kemudian menenangkan mangsa sebelum menunggu bantuan untuk tiba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Syakir berkata, tugasan penyelamat dari ketinggian sebegitu adalah pertama kali buat dirinya.

“Dengan adanya ilmu penyelamat sejak menyertai pasukan Bomba ini, saya menggunakannya sebaik mungkin untuk menyelamatkan mangsa dan meminta dia tidak menyerah.

“Saya menenangkan mangsa hampir 15 minit sebelum bantuan tiba dan kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan,” katanya.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur menerusi kenyataan berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak dengan kekuatan lima anggota dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada 10.57 pagi.

Pasukan bantuan dari BBP Hang Tuah dengan kekuatan lapan anggota bersama satu unit jentera ‘Aerial Ladder Platform’ (ALP) turut diarahkan ke lokasi.

Gondola terbabit mengalami masalah teknikal ketika kerja mencuci bangunan dijalankan.

Pasukan Bomba melakukan penyelamatan dengan menggunakan kaedah ‘ascending’ iaitu menaikkan mangsa pertama ke tingkat 34 yang mempunyai ruang akses.

Berita berkaitan

Pencuci bangunan tergantung di tingkat 33

Disiarkan pada: December 23, 2018 @ 2:19pm
d