mutakhir

Lebih banyak alat pengimbas di pintu masuk negara

Oleh Muhammad Yusri Muzamir

SEBANYAK 69 alat pengimbas membabitkan kos dianggarkan bernilai RM700 juta akan dipasang di seluruh pintu masuk ke negara ini sebagai langkah menangani isu penyeludupan khususnya rokok, menjelang hujung tahun hadapan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, ia membabitkan 55 alat pengimbas kontena yang akan dipasang di pelabuhan dan kawasan sempadan, manakala lapan bagi bagasi dan enam (tubuh) yang akan digunakan di lapangan terbang di seluruh negara.

Sehubungan itu, katanya, permohonan bagi cadangan (RFP) untuk tujuan berkenaan akan dibuka kepada umum dengan keseluruhan prosedur penyediaannya akan dibuat melalui tender terbuka.

“Alat pengimbas kontena ini akan membolehkan semua kargo yang masuk ke negara ini diimbas tanpa perlu membuka pintu, sekali gus antara langkah membasmi sebarang aktiviti penyeludupan.

“Kita juga sedang meneliti kaedah terbaik untuk membiayai pemasangan alat pengimbas ini dan berkemungkinan boleh menggunakan sewa pajak bagi mengurangkan perbelanjaan yang perlu ditanggung kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program naik taraf Dewan Serbaguna Persatuan Penduduk Kampung Kastam di Butterworth, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Seri T Subromaniam.

Dalam pada itu, katanya, hukuman bagi pesalah yang melakukan aktiviti penyeludupan rokok akan dinaikkan kepada penjara minima enam bulan hingga lima tahun dan denda antara RM100,000 hingga RM500,000 akan dikuat kuasakan selepas ia diwartakan, tahun depan.

Katanya, ia bagi membolehkan aktiviti penguat kuasaan ke atas penyeludup dan penjual rokok putih ditingkatkan, sekali gus mampu mengurangkan ketirisan sehingga RM5 bilion akibat aktiviti terbabit dengan ia sudah pun diluluskan di Dewan Rakyat.

“Ia (hukuman) juga dirangka selepas kerajaan menerima tekanan hebat daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu isu rokok (seludup) diselesaikan dengan segera. Bagaimanapun, kita harap anggota penguat kuasa tak akan salah guna kuasa untuk mendapatkan habuan peribadi.

“Perkara ini (kemungkinan salah guna kuasa dalam kalangan anggota penguat kuasa) sudah diteliti dan penyelesaiannya sudah pun ada iaitu dengan meletakkan Pegawai Integriti yang lantikannya akan dibuat dalam kalangan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Mereka ini akan bertugas di Kementerian Kewangan bagi memantau setiap tugasan agensi penguat kuasaan seperti JKDM. Hanya pegawai SPRM sama ada masih berkhidmat atau bersara dengan gred sekurang-kurangnya Jusa C akan dilantik bagi jawatan ini.

“Kita juga meletakkan sasaran ke atas agensi penguat kuasaan selepas memberi mereka kuasa yang lebih besar. Jika mereka gagal capai sasaran itu. maknanya ada masalah atau kelemahan yang akan diselesaikan Pegawai Integriti ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 23, 2018 @ 2:37pm
d