mutakhir

Gelinya...

Oleh Erika George

LELAKI terkejut selepas mendapati makanan yang dinikmatinya di pusat henti dan rehat (RNR) di Selangau, dekat Sibu, semalam, dipenuhi dengan telur lalat.

Lelaki yang enggan dikenali itu berkata, dia tiba di gerai berkenaan untuk berhenti makan tengah hari sebelum mengambil semangkuk sup daging bersama nasi putih.

Menurut lelaki berusia 50-an itu, pada mulanya dia tidak menyedari hidangan sup daging yang diambilnya itu mempunyai telur lalat.

“Ketika sudah menjamah beberapa suap nasi dan sup daging, saya baru sedar terdapat telur lalat dalam hidangan berkenaan. Keadaan itu menyebabkan saya menjadi mual,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Dia berkata, keadaan ini berkemungkinan menyebabkannya mengalami keracunan makanan dan lebih membimbangkan ia turut menjejaskan kesihatan jika tidak disedari lebih awal.

“Saya kemudiannya terus memaklumkan kejadian kepada pengusaha gerai makanan berkenaan, namun tetap diminta untuk membayar kos makanan walaupun sudah dimaklumkan terdapat telur lalat dalam hidangan berkenaan dan tidak selamat untuk dimakan.

“Kebersihan tidak diutamakan kerana makanan berkenaan pasti dibiarkan terdedah. Saya kesal kerana pengusaha gerai lebih menguntungkan keuntungan daripada kebersihan dan kebajikan pelanggan,” katanya.

Tambahnya, sebagai pelanggan dia menjangkakan pengusaha makanan menyediakan menu yang bersih.

Katanya, pihak berwajib perlu mengambil tindakan sewajarnya kepada pengusaha makanan dan minuman yang tidak mementingkan kebersihan dan kualiti makanan bagi mengelakkan lebih ramai lagi menjadi mangsa.

Disiarkan pada: December 23, 2018 @ 2:50pm
d