mutakhir

[UPDATE] Arwah ringan tulang, suka jamu rakan...

Oleh Nik Sukry Ramli

JURURAWAT Rahimah Jaffar, 34, yang maut dalam kemalangan di Jalan Utama Selancar, dekat Muadzam Shah, Rompin, hari ini selalu membantu rakan sekerja dan suka memasak untuk menjamu mereka apabila ada kelapangan.

Rakan sekerjanya di Hospital Segamat, Umi Kalsum Sudin, 34, berkata Allahyarham ada menceritakan hasratnya mahu menghabiskan cuti hujung minggu dan cuti sempena perayaan Krismas di kampungnya.

“Malam tadi memang kami ada berbual mengenai rancangan Allahyarham untuk balik ke kampung di FELDA Selancar sempena cuti Krismas.

“Lagi pun Allahyarham baharu selesai bertugas bagi shif malam (malam tadi) dan memang sudah lama bercadang untuk balik menjenguk ahli keluarganya,” katanya ditemui di perkarangan Unit Forensik dan Patologi Hospital Muadzam Shah, Rompin, hari ini.

Umi Kalsum yang sudah mengenali Allahyarham kira-kira 10 tahun lalu mengakui sangat terkesan dengan kejadian menyayat hati menimpa sahabat baiknya kerana dia bukan sahaja suka membantu rakan, tetapi juga sering memasak atau membelanja rakan setiap kali ada majlis.

“Dia (Allahyarham) memang macam itu sejak dulu, sejak kami kenal begitulah sikap dia dengan kawan-kawan... mereka suami isteri memang suka membantu orang dan buat rumah terbuka,” katanya.

Dalam kemalangan kira-kira jam 9.30 pagi, Rahimah dan bayinya Muhammad Zamil Abdul Aris, lapan bulan, maut manakala seorang lagi anaknya, Firas, 5, kritikal selepas Perodua Alza dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Utama Selancar berhampiran FELDA Selancar 6.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd Noor berkata, kejadian berlaku apabila kenderaan dipandu Rahimah yang dalam perjalanan dari simpang Selancar ke Perwira Jaya dipercayai hilang kawalan selepas mengelak lubang sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori dipandu, Mohd Saiful Basar.

Mayat dua beranak itu dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk dibedah siasat dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Perwira Jaya, FELDA Selancar, malam ini.

Sementara itu, suami mangsa, Abdul Aris Jupry, 35, yang bertugas sebagai guru di sebuah sekolah di Segamat enggan ditemubual kerana masih terkejut dengan insiden malang menimpa keluarganya itu.

Difahamkan, Abdul Ariss sedang mengikuti kursus di Melaka sejak awal minggu lalu dan bergegas ke Hospital Muadzam Shah sebaik menerima berita kemalangan itu.

Berita berkaitan

Jururawat, bayi maut

Disiarkan pada: December 23, 2018 @ 7:01pm
d