mutakhir

[UPDATE] 'Fikir Adam hidup lepas buat CPR'

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

fhatihah.nstp.com.my

“SAYA fikir selepas lebihan makanan tersembur keluar dari mulutnya, itu petanda yang Adam boleh hidup,” demikian usaha terakhir seorang ayah yang cuba menyelamatkan anaknya, Mohammad Adam Raiyan Mohd Saiful, 7, semalam.

Mohd Saiful Mohd Nor, 34, berkata dia cuba sedaya upaya memberikan bantuan kecemasan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selepas anaknya ditemui lemas di kolam renang di resort di Batu 12, Jalan Pantai, Port Dickson, Negeri Sembilan, petang semalam.

“Bantuan CPR diberikan berulang kali secara bergilir bersama rakan, keluarga dan orang awam dengan harapan Adam dapat bertindak balas.

“Bagaimanapun, saya dan keluarga akur dengan ketentuanNya dan kami reda pemergian Allahyarham. Apapun, saya akui sedikit terkilan kerana tiada kehadiran penyelamat kecemasan sedangkan sebelum itu mereka ada di sana,” katanya yang ditemui di rumahnya di Taman Bidara Emas, Masjid Tanah, Alor Gajah, hari ini.

Terdahulu, dalam kejadian 2.45 petang semalam, kegembiraan Mohd Saiful bersama kira-kira 50 anggota keluarga menyertai hari keluarga bertukar tragedi apabila anaknya ditemui lemas di kolam renang di sebuah resort di Port Dickson.

Mohd Saiful berkata, Mohammad Adam Raiyan mulanya hendak bermain go-kart tetapi tidak dibenarkan, sebelum Allahyarham meminta izin pula untuk mandi di kolam.

Katanya, sebaik dia dan isteri, Rabiatul Adawiyah Saliyan, 36, bersama dua anak lagi bersiap untuk pulang selepas mandi, Mohammad Adam Raiyan tiba-tiba hilang dari pandangan dan gagal ditemui di sekitar kolam dewasa dan kanak-kanak, di pusat peranginan itu, pada 2.20 petang.

“Puas saya mencarinya sehingga ke tandas kerana terfikir mungkin arwah mahu buang air. Sebaik keluar dari tandas, saya nampak Adam sudah diangkat, terus saya berlari ke arahnya.

“Saya terus tonggengkan Adam dan buat prosedur CPR dengan apa yang saya belajar sebelum ini. Pada masa sama, perut dia sudah kembung, dipenuhi air.

“Bila saya tekan lagi, ada semburan makanan, jadi saya fikir Adam tak sedarkan diri dan beri semangat untuk hidup,” katanya.

Mohd Saiful berkata, Mohammad Adam Raiyan tidak memberi sebarang maklum balas suara atau pergerakan fizikal melainkan kakinya sudah kebiruan dan darah keluar dari hidung meskipun CPR sudah diberikan.

Katanya, sebaik ambulans tiba, dia melepaskan Adam yang dibawa ke hospital sebelum pihak hospital mengesahkan kematian Adam pada 4.20 petang.

“Adam seorang anak yang cerdik, suka mengaji dan peramah kerana dikenali penduduk di taman perumahan berkenaan.

“Selepas apa yang berlaku, baru saya perasan yang dia membawa pulang rehal dan al-Quran neneknya untuk dibaca, malah saya sudah tidak dapat lagi teruskan rutin membuka butang seluar dia yang selama ini menjadi tugas sebagai bapa.

“Saya dan isteri cuba kuatkan diri. Siapa tidak sayang anak. Kadang-kadang bau selimut busuk Adam, selain seluarnya. Dia akan cakap ‘ayah, tolong pakaikan’,” katanya.

Lebih menyayat hatinya, mereka sepatutnya membelikan kasut sekolah hitam untuk arwah pada hari ini, selain sedih mengenangkan anaknya hanya sempat menunggang basikal baharu seminggu lalu selepas mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan akhir tahun.

Berita berkaitan

'Tragedi hari keluarga'

Disiarkan pada: December 23, 2018 @ 8:07pm
d