mutakhir

[UPDATE] Tragedi cari buah di kebun rakan

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

LELAKI yang ditemui meninggal dunia di atas pokok manggis di Kampung Jawa, Padang Gajah, Taiping, hari ini adalah pegawai kesihatan yang ke kebun bersama seorang rakannya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid berkata, mangsa, Iahasan Mohd Majudin, 59, bersama rakannya datang ke kebun itu untuk mencari buah-buahan.

“Mangsa dan rakannya yang juga pemilik kebun dikatakan berpecah untuk mencari buah dengan mangsa mencari di sekitar rumah kosong di kebun itu manakala rakannya ke kawasan kaki bukit yang jaraknya kira-kira satu kilometer dari mangsa.

“Pada 11 pagi, rakan mangsa kembali dan mendapati mangsa tiada serta mencarinya sekitar kebun sebelum terkejut sebaik menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tersangkut di celah dahan pokok manggis setinggi kira-kira tiga meter.

“Selepas beberapa panggilan tidak disahut, rakan mangsa memeriksa keadaannya dan mengesyaki mangsa sudah meninggal dunia dan segera memaklumkan kejadian kepada polis dan bomba,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa diturunkan dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis dan kemudiannya dibawa ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.

Katanya, mangsa berkerja sebagai pegawai kesihatan di Taiping dan tinggal di Taman Seri Kinta Fasa 1, Taiping.

“Siasatan awal tiada unsur jenayah dikesan dan menunggu hasil bedah siasat bagi mengenalpasti punca sebenar kematian mangsa“, katanya.

Berita berkaitan

'Ajal atas pokok manggis'

Disiarkan pada: December 23, 2018 @ 10:04pm
d