mutakhir

Seronok, hiba berjumpa geng lama

Oleh Rosli Ilham

“KAMI gembira dapat berjumpa semula dan pada masa sama, sedih apabila terkenangkan sudah kehilangan ramai sahabat,” kata bekas Ketua Penolong Pengarah Logistik (Pengangkutan) Bukit Aman, Datuk Zakaria Abdul Hamid.

Beliau yang juga bekas Ketua Polis Daerah Dungun pada 1990-an bersama 200 mantan Ketua Polis Daerah Dungun, Pegawai Kanan dan anggota polis yang pernah bertugas di Dungun hadir sempena ‘Reunion Tautan Siraturahim’ di Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, malam tadi.

Zakaria yang juga Timbalan Pengerusi program itu berkata, beliau terharu apabila berjaya mengumpulkan hampir semua bekas anggota polis yang pernah bertugas di Dungun.

“Saya terharu kerana selepas 20 tahun meninggalkan Dungun, saya dapat bertemu kembali dengan pegawai dan anggota bawahan yang sudah bersara dan masih bertugas.

“Paling sedih apabila mendapat tahu ada yang meninggal dunia.

“Reunion selama sehari itu kami adakan pelbagai acara seperti solat berjemaah, solat hajat, bacaan surah Yasin dan tahlil arwah kepada anggota yang sudah meninggalkan kita semua,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Kamal Khan Mohd Sharif; Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah; Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Zohan Che Seman; bekas Timbalan Ketua Polis Dungun yang juga bekas Ketua Bahagian Agama dan Kaunseling IPK Pulau Pinang, Superintendan Che Hamzah Che Ismail.

“Dua bekas ketua polis dan seorang bekas timbalan ketua polis Dungun tidak dapat hadir atas sebab tidak dapat dielakkan.

“Mereka ialah bekas Pengarah Pengurusan Polis Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Ghafar Rejab, bekas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kelantan, Asisten Komisioner Dahlan Mohd Noor serta bekas Ketua Bahagian Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Karim Abu,” katanya.

Zakaria berkata, program reunion itu akan diteruskan pada masa akan datang.

Disiarkan pada: December 23, 2018 @ 10:45pm
d