mutakhir

Padah bawa lebih penumpang

Oleh Ruwaida Md Zain

DUA bot membawa lebih penumpang yang dalam perjalanan dari Pantai Cermin menuju ke Sungai Buloh, Jeram ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, semalam.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, kedua-dua bot terbabit ditahan pada jarak 6.4 batu nautika barat Jeram, 12.20 tengah hari, semalam.

"Dua bot terbabit ditahan ketika pasukan APMM sedang melakukan rondaan rutin di sekitar perairan, untuk pemeriksaan.

"Anggota Maritim Malaysia mendapati kedua-dua bot melanggar syarat sah lesen iaitu membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan.

"Kalau mengikut syarat lesen had muatan penumpang adalah 12 penumpang bagi setiap bot terbabit. Bagaimanapun, bot terbabit masing-masing membawa 30 penumpang dan 20 penumpang," katanya.

Mohammad berkata, bot terbabit ditahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 selepas menghantar semua penumpang ke jeti nelayan di Sungai Buloh, Jeram, sebelum ia bersama pemiliknya dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia Selangor untuk siasatan lanjut.

"Saya ingin mengingatkan pengusaha bot-bot penumpang ini, jangan memikirkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan keselamatan penumpang.

"Pemilik bot mestilah bertanggungjawab terhadap keselamatan penumpang bagi mengelakkan perkara ini berulang selain mendatangkan bahaya kepada penumpang seperti mengakibatkan kapal karam dan perkara tidak diingini," katanya ketika dihubungi NSTP.

Disiarkan pada: December 24, 2018 @ 12:01pm
d