mutakhir

6 jam senapang diacu ke kepala

Oleh Melvin Joni

DIACU senjata 5.56mm Pindad SS-1 ‘assault rifle’ ke kepala selama enam jam seperti penjenayah berbahaya menjadi detik cukup menakutkan bagi rakyat Malaysia, Ruby Nyalu, 30.

Ruby ketika ditemui NSTP, Kampung Danau Melikin, Serian, kelihatan masih trauma mengenangkan nyawanya yang betul-betul berada di hujung tanduk selepas lima mereka diculik Tentera Nasional Indonesia (TNI), di sempadan Sarawak-Kalimantan Barat, 11 Disember lalu.

Bagaimanapun, dengan raut wajah kesyukuran, Ruby mengakui sambutan Krismas tahun ini lebih bermakna, lebih-lebih lagi selepas terselamat daripada insiden penculikan terbabit.

"Biarpun sudah dibebaskan dan selamat, kami masih trauma. Tidak sangka kejadian sebegini boleh berlaku kerana niat kami hanya mahu mencari kayu untuk membina rumah baharu.

"Hanya terfikir maut saja ketika itu, malah cukup sedih mengenangkan keluarga yang tentunya menantikan kepulangan kami menjelang sambutan Krismas," katanya.

Menceritakan semula detik itu, Ruby berkata, mereka ditahan kira-kira 10 pagi di Hutan Wong Rangkai, berhampiran rumah panjang mereka, sebelum didatangi dua lelaki berseragam TNI, lengkap bersenjata.

Mereka kemudian diarahkan memandu kenderaan pacuan empat roda (4WD) milik bapa Ruby menuju ke Pos Kawalan Sempadan TNI di Sungai Engkeli, dengan seorang anggota tentera negara jiran itu duduk di bahagian depan dan seorang lagi di belakang sambil mengacukan senjata ke arah mereka.

Menurut Ruby, setibanya di pos berkenaan, kesemua mereka 'dibogelkan', dengan hanya tinggal berseluar dalam dan muka ditutup dengan kain sebelum dibelasah kira-kira 12anggota tentera di situ.

"Mereka mendakwa kami mencuri kayu dari kawasan Indonesia tetapi apabila saya menjawab, saya dipukul. Setiap kali menjawab, mereka akan pukul," katanya.

Ruby mengalami kecederaan paling teruk pada bahagian muka akibat ditumbuk, selain dipukul menggunakan rotan di kaki dan badan.

Beliau turut menghargai usaha Wisma Putra yang dibantu Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membebaskannya bersama empat lagi saudaranya, pada jam 4 petang, 11 Disember lalu.

Justeru, Ruby berharap agar ATM segera membina pos kawalan sempadan di kawasan terbabit bagi mengelak perkara sama berulang, termasuk insiden pencerobohan sempadan oleh TNI.

"Disebabkan tiada Pos Kawalan Sempadan ATM di kampung itu, anggota TNI, termasuk penduduk kampung dari wilayah Indonesia bebas keluar masuk hingga membimbangkan penduduk kampung," katanya.

Dalam kejadian 11 Disember lalu, lima penduduk Kampung Danau Melikin berusia antara 15 hingga 64 tahun ditahan anggota TNI kerana didakwa mencuri hasil kayu di kawasan Indonesia.

Bagi membebaskan mereka, anggota TNI dikatakan meminta wang tebusan RM10,000 bersama mesin gergaji balak, selain menahan sebuah Toyota Hilux digunakan untuk mengangkut kayu.

Sementara itu, Ketua Kampung Danau Melikin B, Nyalu Tampa, 60, berkata kampung mereka 'dikuasai' oleh tentera negara jiran itu sejak tujuh tahun lalu selepas ladang sawit dibuka di situ.

Beliau mendakwa pemilik ladang sawit berkenaan menjalin kerjasama dengan anggota tentera di Pos Kawalan Sempadan TNI di Sungai Engkeli untuk menjaga ladang berkenaan.

Katanya, ia disebabkan pembukaan ladang itu dibantah oleh penduduk kampung kerana menggunakan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) penduduk secara haram.

"Pemilik ladang membina jalan dan menghantar bekalan makanan kepada anggota TNI di sana.

Mereka juga bebas keluar masuk ke kawasan kampung dan mengugut kami jika menganggu ladang sawit itu," katanya.

Berita berkaitan:

  • Rutin tukar mimpi ngeri
  • Disiarkan pada: December 24, 2018 @ 2:27pm
    d