mutakhir

Tergamak ibumu...?

Oleh Muhammad Mustakim Ramli

TANGISAN bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan yang dibuang berdekatan jalan di Kampung Bunga Chepir, Sik, hari ini menyelamatkannya daripada menjadi mangsa haiwan liar atau dilanggar kenderaan.

Ketua Polis Daerah Sik Deputi Superitendan Abdull Razak Osman berkata, bayi berkenaan ditemui pada 8 pagi oleh seorang peniaga yang kebetulan melalui jalan berkenaan untuk menuju ke dusunnya.

“Peniaga lelaki berusia 48 tahun itu kemudian bertindak mencari dari mana arah bunyi bayi berkenaan.

“Bayi itu ditemui di atas tanah dengan dibaluti kain putih. Lelaki berkenaan terus menghubungi jururawat dari klinik berdekatan sebelum melaporkan kepada polis,” katanya ketika dihubungi.

Abdull Razak berkata, pemeriksaan oleh jururawat mendapati bayi itu masih hidup dan dibawa ke Hospital Daerah Sik untuk tindakan lanjut.

“Berdasarkan laporan pegawai perubatan, bayi itu sihat dan tidak mengalami apa-apa kecederaan.

“Keadaan bayi itu masih bertali pusat dan kita percaya baru dilahirkan sekali gus meminta mereka yang mempunyai maklumat memaklumkan kepada polis,” katanya.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: December 24, 2018 @ 2:47pm
d