mutakhir

Penduduk bimbang tebing konkrit runtuh

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PENDUDUK kawasan perumahan Taman Desajaya, Seremban bimbang keselamatan mereka terancam berikutan tembok konkrit yang dibina di cerun bukit berhampiran Sungai Paroi, runtuh.

Kebimbangan itu kian memuncak sejak awal bulan ini kerana wujud rekahan baharu pada tembok berkenaan yang memungkinkan berlaku runtuhan susulan.

Tinjauan NSTP mendapati runtuhan tembok konkrit itu berlaku di dua bahagian terletak pada jarak kira-kira 400 meter dan bahagian cerun bukit setinggi hampir 10 meter itu turut menunjukkan pergerakan tanah.

Penduduk, Norizan Nordin, 43, berkata penduduk sudah mengadukan perkara berkenaan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri serta Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dua minggu lalu.

“Runtuhan tembok disedari kira-kira dua minggu lalu ketika saya masuk ke kawasan kebun di cerun bukit berkenaan.

“Saya kemudian memaklumkan kepada penduduk mengenai kejadian itu.

“Keadaan cerun mula menghakis dan merekah membimbangkan kami terutama penghuni di deretan rumah yang terletak di atas bukit berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Norizan yang juga peniaga kedai makan berkata, tembok konkrit dibina kira-kira tujuh tahun lalu itu tidak mampu menghalang pergerakan tanah di cerun bukit terbabit sekiranya tidak dibaik pulih serta-merta.

Katanya, berlaku gelinciran tanah dan rekahan pada tembok konkrit yang belum runtuh dan pihak berkenaan diminta mengambil tindakan segera sebelum kejadian tidak diingini berlaku.

Sementara itu, Pengarah JPS Negeri Sembilan, Rozman Mohammad berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan dan akan mendapatkan pelan asal pembinaan tembok konkrit itu bagi kerja baik pulih.

Beliau berkata, kerja pembinaan semula tembok yang runtuh itu dijangka dimulakan pada awal tahun depan.

Disiarkan pada: December 24, 2018 @ 5:38pm
d