mutakhir

Terima kasih Sarjan Sulaiman, Koperal Chamnan

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

KEPRIHATINAN dua anggota polis menyelamatkan kucing di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu daripada dilanggar, Khamis lalu menarik perhatian masyarakat selepas ia tular di Facebook.

Sehingga 4 petang, hari ini, gambar Sarjan Sulaiman Ali dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu mendapat hampir satu juta tanda suka (like).

Niat murni Sulaiman bersama rakan setugasnya, Koperal I Chamnan nyata diiringi reaksi positif netizen yang rata-ratanya memuji tindakan mereka melindungi kucing di tengah jalan daripada dilanggar.

Ia sekali gus membuktikan tugas polis tidak sekadar mencegah jenayah dan menjaga ketenteraman awam semata-mata tetapi keselamatan haiwan.

Difahamkan ketika kejadian, dua anggota itu sedang melakukan rondaan sebelum terlihat kucing berkenaan di tengah jalan.

Sulaiman berhenti untuk menyelamatkan kucing itu sementara Chamnan berkawal di tepi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, beliau kagum dengan keprihatinan dua anggota terbabit, malah tindakan mereka turut mendapat pujian Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail.

“Sijil penghargaan diberikan sebagai pembakar semangat kepada mereka untuk terus melakukan tugas dengan sebaik mungkin.

“Kita harap ia juga menjadi contoh yang baik kepada warga Polis Diraja Malaysia khususnya bertugas IPD Kuala Terengganu,” katanya selepas Majlis Penghargaan Sijil Penghargaan di IPD Kuala Terengganu, hari ini.

Pix Ihsan Pdrm

Disiarkan pada: December 24, 2018 @ 5:40pm
d