mutakhir

Lelaki tinggal pistol diburu

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

SEORANG lelaki diburu selepas polis menemui sepucuk pistol bersama peluru yang ditinggalkan dalam satu bungkusan di Kampung Puyut, dekat Jalan Pantai, Lahad Datu, semalam.

Dalam kejadian jam 7.45 malam itu, suspek yang belum dikenal pasti identiti meletakkan bungkusan berisi senjata api itu di hadapan sebuah kedai runcit sebelum melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, ketika kejadian polis sedang menjalankan operasi cegah jenayah di kawasan terbabit.

“Ketika menjalankan operasi, anggota polis ternampak lelaki berkenaan dalam keadaan mencurigakan sedang berdiri di jambatan kayu berhadapan sebuah kedai runcit di kampung terbabit.

“Suspek turut dilihat mengeluarkan satu bungkusan berwarna ungu dan putih dari dalam baju yang dipakainya lalu meletakkan di atas lantai kaki lima kedai runcit.

“Anggota bertugas kemudian mendekati suspek untuk menjalankan pemeriksaan tetapi lelaki berkenaan bertindak melarikan diri sehingga berlaku pergelutan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, hari ini.

Nasri berkata, suspek kemudian terjun ke laut dan menghilangkan diri.

Katanya, apabila diperiksa, bungkusan ditinggalkan lelaki berkenaan didapati berisi sepucuk pistol jenama Taurus dan 28 butir peluru.

“Barang rampasan kemudian dibawa ke IPD Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, orang ramai yang terlihat suspek itu diminta menghubungi pihak polis dengan segera.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat ) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Disiarkan pada: December 24, 2018 @ 6:00pm
d