mutakhir

BERSATU masuk Sabah: Keputusan selepas sebulan

Oleh Siti Nur Mas Erah Amran

KEPUTUSAN berhubung pelebaran sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ke Sabah akan ditentukan dalam tempoh sebulan.

Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata, isu terbabit masih dibincangkan.

“Biarlah Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan rakannya berunding dengan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor.

“Tempoh munasabah untuk rundingan dalam sebulan atau sebulan lebih... beliau (Shafie) akan maklumkan keputusan supaya kita boleh fikirkan langkah seterusnya yang bakal diambil,” katanya di ibu pejabat BERSATU, di Petaling Jaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada isu berhubung pelebaran sayap ke Sabah akan dibincangkan dalam Perhimpunan Agung BERSATU yang akan berlangsung dari 28 sehingga 30 Disember ini.

Terdahulu, Muhyiddin berkata, beliau sudah bertemu dengan Mohd Shafie dan berjanji sayap BERSATU tidak akan dikembangkan ke Sabah kerana parti itu mahu WARISAN menjadi tempat naungan rakyat.

“Saya kata, kalau beliau (Mohd Shafie) boleh masukkan semua dalam WARISAN, kerja saya selesai.

“Ini perlu supaya tidak pertembungan dari segi kepentingan antara parti pro-Pakatan Harapan (PH).

“Kita ingin pertahankan dan perkukuh WARISAN di Sabah, bukannya nak berebut kerusi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pihaknya berhati-hati mempertimbangkan keperluan untuk menubuhkan lebih banyak cawangan BERSATU di Sarawak.

“Sekarang sudah ada DAP, PKR, AMANAH dan kita adalah parti keempat di sana.

“Untuk tubuhkan satu dua bahagian, boleh... tetapi kita tak ada niat untuk kembangkan sayap ke seluruh Sarawak sebab negeri itu besar.

“Tak mudah untuk uruskan,” katanya.

Disiarkan pada: December 24, 2018 @ 6:32pm
d