mutakhir

7 cedera ambulans dirempuh MPV

Oleh Nur Saliawati Salberi

TUJUH individu termasuk seorang pemandu ambulans cedera apabila kenderaan membawa dua pesakit itu dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 7 Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Jasin, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10.35 pagi ketika ambulans yang membawa enam penumpang termasuk dua pesakit kanser dalam perjalanan ke Hospital Muar, Johor.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati ambulans itu dalam perjalanan dari arah pusat bandar ke Muar, manakala Toyota Wish dipandu lelaki berusia 22 tahun dari arah Jalan Kampung Tasek ke Sungai Rambai, Jasin.

Katanya, semua mangsa berusia antara 18 hingga 65 tahun cedera di beberapa bahagian badan termasuk luka, patah bahu dan tangan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Wish berkenaan merempuh bahagian kiri hadapan ambulans terbabit sejurus melalui persimpangan lampu isyarat.

“Berdasarkan siasatan awal kedua-dua pemandu itu mendakwa lampu isyarat laluan mereka hijau,” katanya ketika dihubungi.

Arshad berkata, semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Muar untuk rawatan lanjut, bagaimanapun pemandu MPV berkenaan tidak cedera.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: December 24, 2018 @ 6:35pm
d