mutakhir

Pemancing hilang ditemui lemas

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PEMANCING yang dilaporkan hilang semalam ketika cuba berenang ke darat di Kampung Seri Pantai di Mersing, ditemui lemas pada jarak kira-kira satu kilometer arah utara dari lokasi kejadian, tengah malam tadi.

Mayat Sudirman Mohamad, 36, ditemui pada 12.30 tengah malam tadi oleh pekerja resort berdekatan.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, mayat mangsa ditemui terdampar di kawasan berbatu di Teluk Iskandar di sini.

“Pusat Operasi Zon Maritim Mersing menerima panggilan daripada pekerja resort di Teluk Iskandar yang memaklumkan menemui satu mayat terdampar di kawasan berbatu berhampiran resort berkenaan.

“Berdasarkan maklumat itu, Pangkalan Hadapan Carilamat menggerakkan anggota ke lokasi penemuan untuk mengambil mayat mangsa.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Mersing di sini, untuk tindakan lanjut dan pengecaman serta pengesahan sudah dibuat keluarga mangsa 1.10 pagi tadi,” katanya.

Semalam, mangsa lelaki itu sedang memancing 500 meter dari persisiran pantai, sebelum hanyut ketika berenang ke tepi pantai untuk menyelamatkan diri ketika air pasang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Mersing, Soleh Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 11.05 malam kelmarin daripada rakan mangsa.

Katanya, sembilan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dengan sebuah jentera, lori, van EMRS dan sebuah bot digerakkan ke lokasi kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan kawasan seluas satu kilometer persegi dari kawasan mangsa dilaporkan hilang.

“Operasi turut membabitkan lima anggota polis, dua polis marin dan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam,” katanya.

Disiarkan pada: December 25, 2018 @ 10:24am
d