mutakhir

Kejutan 'suara' merdu Phubalang [METROTV]

Oleh Noorazura Abdul Rahman

PELABURAN sebanyak 250,000 Baht (RM32,000) demi membeli seekor burung merbuk nyata berbaloi apabila ia menjuarai pertandingan suara burung merbuk peringkat antarabangsa di Jabi, Alor Setar, hari ini.

Pertandingan anjuran Persatuan Seni Suara Burung Merbuk Negeri Kedah (PSSBMNK) itu mengiktiraf burung merbuk milik Manit Buthlab, 45, dari Chana, Thailand sebagai juara keseluruhan berikutan memenangi tiga daripada lima kategori yang dipertandingkan.

Menurut Manit, dia sanggup menghabiskan duit demi burung merbuk itu yang dibeli daripada seorang rakan selepas mendengar bunyinya yang sangat ‘galak’ dan sedap.

“Selepas empat bulan saya membelinya, inilah kali pertama saya membawa burung kesayangan saya memasuki pertandingan.

“Saya panggil burung ini dengan nama Phubalang. Sebelum bawa ke sini saya sudah melatih Phubalang agar biasa dengan keadaan orang ramai dan cuaca yang panas.

“Burung ini memang gemar ‘bernyanyi’ dan suaranya sedap berbanding burung merbuk lain yang saya miliki,” katanya ketika ditemui selepas menerima hadiah piala pusingan daripada Presiden PSSBMNK, Datuk Ghazali Cha.

Manit berkata, dia sangat terkejut dipilih memenangi pertandingan itu kerana niatnya hanyalah untuk memberi pendedahan kepada Phubalang.

Katanya, dia menjaga Phubalang seperti manusia termasuk memberi ubat kepada burung itu jika ia sakit.

“Setiap minggu saya membawanya ke jabatan veterinar di sana (Thailand), malah saya sendiri turut mempelajari ilmu mengenai burung supaya setiap burung yang saya miliki sentiasa sihat.

“Kemenangan ini memberi semangat kepada saya untuk terus menjadi pencinta burung merbuk dan sentiasa menjaganya dengan baik,” katanya yang turut memiliki pusat jualan burung di Thailand.

Manit mengalahkan 300 peserta lain dari seluruh Semenanjung Malaysia dan juga selatan Thailand.

Disiarkan pada: December 25, 2018 @ 4:25pm
d