mutakhir

Usah culas bayar semula pinjaman

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

KIRA-KIRA 40 peratus daripada 419,000 usahawan kecil dan sederhana yang meminjam Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, dikenal pasti culas untuk membayar balik pinjaman berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor, berkata daripada jumlah berkenaan, lebih 100 kes dibawa ke mahkamah kerana enggan membayar balik selain tidak memberi kerjasama.

Justeru, beliau mengingatkan peminjam TEKUN yang culas dan lari daripada membayar balik pinjaman berkenaan bahawa kes mereka akan dibawa ke mahkamah.

“Kita memang mahu elak sesuatu kes dibawa ke mahkamah, namun sekiranya peminjam sukar berbincang dan memberi kerjasama, kita terpaksa mengambil tindakan sedemikian.

“Bagaimanapun, kepada mereka berdepan dengan masalah ekonomi, kita akan beri peluang kedua dengan syarat memaklumkan kepada kita supaya mudah untuk memberi tunjuk ajar serta nasihat.

“Sejak 20 tahun lalu, kita mempunyai 419,000 peminjam di seluruh negara membabitkan kos RM5.2 bilion. Di Kelantan sahaja, seramai 51,000 usahawan kecil dan sederhana membuat pinjaman membabitkan nilai RM465 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Sumbangan Bantuan Persekolahan kepada 150 pelajar kurang kemampuan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Mahmud Paduka Raja 1 di Tanah Merah, hari ini.

Mohamad Suparadi yang juga Pengerusi PKR Kelantan, berkata jumlah pinjaman TEKUN diberi kepada setiap usahawan sehingga mencecah RM100,000.

“Kita mahu ubah hala tuju TEKUN iaitu bukan sahaja memberi pinjaman wang, sebaliknya menjadi pelopor kepada pembinaan usahawan.

“Kita diberi peranan untuk membantu usahawan. Mengambil contoh di Terengganu, ada usahawan membuat pinjaman serendah RM5,000 pada 15 tahun lalu dan berbekalkan modal itu, usahawan itu kini berjaya menjana pendapatan sehingga RM20 juta setahun.

“Ini yang kita mahukan dan seboleh-bolehnya kita mahu lebih ramai usahawan berjaya menerusi pinjaman TEKUN ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 25, 2018 @ 6:48pm
d