mutakhir

Wanita maut dilanggar lari

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

WANITA meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya dipercayai dilanggar sebuah kenderaan lain di Kilometer 13.5 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), dekat Petaling Jaya, hari ini.

Dalam kejadian 5 petang itu, mangsa, Hasnina Norsafri, 22, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Bagaimanapun, kenderaan yang melanggar mangsa tidak dapat dikesan selepas pemandunya dipercayai melarikan diri dari tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, kemalangan itu disedari oleh peronda LDP yang sedang melakukan rondaan.

“Siasatan awal mendapati motosikal Yamaha Y15 ditunggang mangsa dipercayai dilanggar lari sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti.

“Mangsa dilaporkan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azman berkata, kemalangan itu menyebabkan laluan tengah dan kiri di lokasi terbabit ditutup bagi siasatan lanjut.

“Penutupan laluan itu menyebabkan aliran trafik perlahan dan sesak hingga 1.5 kilometer.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: December 25, 2018 @ 8:17pm
d