mutakhir

Lelaki parah dalam cubaan samun

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI parah di bahagian kepala dan bahu dipercayai ditetak dengan kapak ketika cuba disamun di sebuah bank di Taman Sri Sinar, Segambut, di Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, ketika kejadian 8.30 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun sedang mengeluarkan wang daripada mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

“Mangsa kemudian dihampiri seorang lelaki bersenjatakan kapak dan memaksa mangsa menyerahkan wang.

“Bagaimanapun, mangsa bertindak melawan menyebabkan berlaku pergelutan hingga dia mengalami luka di bahagian kepala dan belakang bahu dipercayai ditetak menggunakan kapak,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Shanmugamoorthy berkata, suspek yang tidak berjaya menyamun wang mangsa kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah pacuan empat roda.

“Mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) menggunakan ambulans untuk menerima rawatan.

“Hasil maklumat dan risikan dilakukan, kami berjaya menahan dua suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian itu kira-kira jam 10 malam tadi.

“Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 24 dan 33 tahun itu akan dibuat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 393/397 Kanun Keseksaan kerana cuba melakukan samun menggunakan senjata,” katanya.

Rakaman video berdurasi 20 saat yang memaparkan mangsa dalam keadaan duduk dan bajunya berlumuran darah akibat parah selepas dipercayai ditetak oleh penjenayah terbabit tular di media sosial.

Disiarkan pada: December 26, 2018 @ 12:31am
d