mutakhir

Pendaki sesat di Bukit Bendera

Oleh Hadzlihady Hassan

SEMBILAN individu dilaporkan sesat dalam hutan ketika mendaki Bukit Bendera, di Georgetown, malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan yang dibuat seorang daripada mangsa terbabit pada 7.27 malam.

Menurutnya, bomba kemudian membuat panggilan semula dan mangsa memberitahu mereka kemungkinan berada di kawasan Wand Gate 7 Bukit Bendera.

“Mangsa dapat mendengar isyarat siren daripada bomba dan lokasi mereka sudah berjaya dikesan.

“Mereka juga membuat unggun api dan pasukan penyelamat kini sedang berusaha mengesan serta menurunkan semua mangsa,” katanya.

Menurutnya, dua jentera dari Balai Bomba Penyelamat Bagan Jermal dan Paya Terubong dihantar ke kaki Bukit Bendera bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Sehingga 12.30 pagi hari ini, pasukan bomba masih berada di kawasan hutan Bukit Bendera terbabit dalam usaha menyelamatkan semua mangsa.

Disiarkan pada: December 26, 2018 @ 8:43am
d