mutakhir

Rezeki anak yatim piatu

Oleh Siti Rohana Idris

EMPAT beradik yatim piatu bersyukur dimurahkan rezeki oleh Allah SWT apabila setiap tahun menerima sumbangan orang ramai bagi kelengkapan sekolah termasuk baju sekolah baru.

Ahmad Aqasyah Wajdi Mahadi Abdullah, 16, berkata, dia dan tiga lagi adiknya Noor Ariesya Wajihah, 12, Mohd Asriey, 10 dan Mohd Aideyl, 8, tinggal bersama ibu dan bapa saudara mereka di Kampung Pasir Pekan di Tumpat yang hanya menjalankan kerja kampung bagi menyara hidup mereka sejak kematian ibu bapa mereka empat tahun lalu.

“Pada setiap tahun, kami akan mendapat dua pasang baju sekolah setiap seorang hasil dari sumbangan dan belas ehsan orang ramai.

“Tiga adik saya juga mendapat bantuan dari guru di sekolah mereka yang memberi sumber kewangan bagi membeli baju sekolah.

“Bagi kelengkapan lain pula, kami akan menggunakan wang simpanan dari Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) yang diterima awal tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Kampung Pasir Pekan Hilir, Tumpat.

Mereka berempat antara 65 penerima yang menerima sumbangan dari badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai `The Third Force’ dalam Program Agihan Kelengkapan Sekolah.

Pengasas The Third Force, Raja Shamri Raja Husin berkata, setiap tahun mereka akan memperuntukkan sejumlah sumbangan untuk program itu dan tahun ini sebanyak RM10,000 diperuntukkan.

Katanya peruntukan itu untuk diagihkan kepada 100 penerima yang terdiri daripada anak asnaf.

“Setiap penerima menerima kelengkapan sekolah dalam nilai RM100 dan setakat ini Sabah dan Perlis sudah diagihkan dan giliran Kelantan pula pada hari ini.

“The Third Force bukan badan kebajikan. Kami hanya menyalurkan bantuan sekiranya ada dana yang disumbangkan oleh orang awam, badan korporat serta organisasi.

“Insya-Allah selepas ini kami akan membantu anak asnaf untuk membantu mereka dari segi pembayaran yuran sekolah pula. Untuk itu, kami mengalu-alukan sumbangan dari mana-mana pihak untuk turut meringankan beban keluarga asnaf ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 26, 2018 @ 11:38am
d