mutakhir

[UPDATE] Dua dah jumpa, cari lagi satu [METROTV]

Oleh Nurul Amanina Suhaini

PASUKAN mencari dan menyelamat menjumpai dua mayat mangsa kapal karam di perairan Tanjung Sepang, di Kota Tinggi, malam tadi.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, kedua-dua mangsa iaitu warga Bangladesh dan China ditemui terapung pada 7.45 malam oleh kapal peronda maritim di lokasi berhampiran kapal karam.

Katanya, mayat itu kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk proses pengecaman dan bedah siasat, selain pasukan penyelam diletakkan bersiap siaga bagi mencari seorang mangsa yang masih hilang di 120 batu nautika timur Tanjung Sepang, Kota Tinggi, yang berkemungkinan terperangkap dalam kapal.

“MV AMANDA adalah kapal yang berdaftar di Malakal Harbour, Palau, sedang dalam pelayaran dari Belungkor ke Desaru membawa muatan batu ketika kejadian berlaku.

“Sebuah kapal dagang TB HMS 14 yang berada di lokasi pada masa itu sudah bertindak menghulurkan bantuan kepada MV AMANDA dan enam kru berjaya diselamatkan termasuk Kapten MV AMANDA.

“Mangsa yang selamat kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Rengit untuk rawatan,” katanya pada sidang media di Pengkalan Maritim Pengerang Tanjung Pengelih, di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, pihaknya difahamkan ketika kapal terbabit tenggelam, berlaku tumpahan minyak kira-kira 4,000 liter, selain kejadian kapal karam seumpama itu adalah kes yang ketiga bagi tahun ini membabitkan kawasan di Batu Pahat dan di sebelah timur kawasan Teluk Ramunia.

Terdahulu, enam anak kapal lelaki warga Bangladesh dan China diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas kapal dagang yang dinaiki mereka karam dibadai ombak di perairan Tanjung Sepang, di sini, semalam.

Dalam kejadian 2 petang itu, kapal dagang MV AMANDA yang membawa kesemua mangsa berusia 23 hingga 51 tahun itu terbalik lalu karam kira-kira 3.3 batu nautika timur Tanjung Sepang, di sini, berikutan mengalami kerosakan pada janakuasa dan menyebabkan roda kapal tidak dapat berfungsi.

Sementara itu, Kapten MV AMANDA, Nizam Ulhaque, 30, berkata, pengalaman bekerjanya yang berada di perairan lebih 11 tahun, tidak menjangka kejadian seumpama itu akan berlaku.

Katanya, ombak yang kuat setinggi kira-kira 1.22 meter itu disusuli dengan kerosakan pada janakuasa menyebabkan kemudi kapal tidak dapat berfungsi.

“Pelayaran dari Belungkor ke Desaru kira-kira 36 batu nautika. Kami hampir sampai dengan hanya berbaki sembilan batu nautika. Namun, kejadian itu mendesak saya untuk mendahulukan menyelamat kru kapal,” katanya.

Berita berkaitan

Tiga kru hilang kapal dagang karam

Disiarkan pada: December 26, 2018 @ 12:12pm
d