mutakhir

Azwanddin ditahan

Oleh Iskandar Shah Mohamed dan Ruwaida Md Zain

POLIS menahan Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah bagi membantu siasatan mengenai kenyataan berunsur provokasi ketika berucap pada Perhimpunan Aman Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat P Waytha Moorthy, di Klang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata, Azwanddin ditahan di Kompleks Keramat Mall, Kuala Lumpur pada 2.40 petang, hari ini.

“Penahanan itu dilakukan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (kerana melakukan ugutan jenayah).

“Berikutan siasatan lanjut perlu diteruskan atas ugutan untuk menyerang balai polis, beliau akan direman di Mahkamah Klang pada 9 pagi esok,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kata Fadzil, Azwanddin turut akan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana membuat penghinaan ke atas individu.

Hari ini, NSTP melaporkan Azwanddin dalam ucapannya mengeluarkan kenyataan akan menyerang Balai Polis Klang sekiranya pihak yang menyebabkan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, tidak ditangkap.

Selain itu, sebuah portal dipetik melaporkan, Azwanddin menggunakan perkataan ‘pariah’ yang didakwa merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Dalam himpunan anjuran Gerakan Masyarakat Malaysia (GERAS) itu, kira-kira 2,000 peserta berkumpul menunaikan solat jenazah ghaib untuk anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib dan solat Asar berjemaah di Masjid Bandar Diraja Klang pada 4 petang.

Mereka kemudian berarak sejauh 400 meter ke Dataran Seni sambil melaungkan kalimah Allahuakbar dan selawat ke atas Rasulullah S.A.W.

Himpunan itu berakhir pada 6.30 petang tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Pengerusi GERAS, Abu Bakar Mohamed turut kecewa dengan tindakan Azwanddin yang tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan provokasi memandangkan pihaknya sudah menegaskan tiada kenyataan seumpama itu boleh dikeluarkan membabitkan perhimpunan aman berkenaan.

GERAS menyatakan tuntutan tujuh perkara termasuk pembelaan kematian Muhammad Adib, desakan memecat Waytha Moorthy, penguatkuasaan Akta Kontrak Sosial, mengambil tindakan kepada mana-mana rumah ibadat haram dan menolak ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum).

Selain itu, mereka mendesak Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Dan Pekerja Selangor, V Ganabatirau disingkirkan berikutan tindakan mengeluarkan kenyataan tidak sepatutnya berkaitan insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Berita berkaitan

Polis siasat kenyataan Azwanddin

Disiarkan pada: December 26, 2018 @ 4:51pm
d