mutakhir

Himpunan aman: Lima laporan polis diterima

Oleh Ruwaida Md Zain

POLIS menerima lima laporan membabitkan Perhimpunan Aman Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat P Waytha Moorthy di Dataran Seni di Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, ia membabitkan dua laporan membabitkan pelanggaran syarat perhimpunan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Polis juga menerima dua laporan kesalahan jenayah di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nurulhuda berkata, selain Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah, pihaknya turut menahan lelaki tempatan berusia 23 tahun bagi membantu siasatan.

“Polis juga akan memanggil penganjur himpunan itu untuk direkodkan keterangan berhubung laporan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.

Dalam himpunan anjuran Gerakan Masyarakat Malaysia (GERAS) itu, kira-kira 2,000 peserta berkumpul menunaikan solat jenazah ghaib untuk Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dan solat Asar berjemaah di Masjid Bandar Diraja Klang.

Mereka kemudian berarak sejauh 400 meter ke Dataran Seni sambil melaungkan kalimah Allahuakbar dan selawat ke atas Rasulullah SAW.

Himpunan itu berakhir kira-kira jam 6.30 petang tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib

Disiarkan pada: December 26, 2018 @ 6:58pm
d