mutakhir

Kasihan atuk...

Oleh Rosli Ilham

“KASIHAN atuk, susah payah kumpul wang untuk beli baju sekolah saya, hari ini semua kelengkapan itu hangus,” kata Ilham Iskandar Mohd Khairul, 9, selepas rumah datuknya musnah dalam kebakaran di Kampung Kuala Abang, Dungun, hari ini.

Dalam kebakaran 4.20 petang itu, rumah yang disewa Hanifah Abdullah, 64, hangus menyebabkan dia, isteri dan cucunya itu tinggal sehelai sepinggang.

Ilham berkata, ketika kejadian, dia bersama datuk serta neneknya, Habsah Ibrahim, 59, berada di Paka untuk mengutip tayar terpakai.

“Atuk dan nenek kutip tayar buruk untuk dijual kepada pekebun dan ketika berada di Paka... atuk menerima panggilan rumah kami terbakar.

“Dalam perjalanan pulang, sampai di Bandar Dungun, van atuk pula rosak sebelum penduduk kampung datang ambil kami di situ,” katanya.

Ilham berkata, setibanya di rumah dia sangat sedih melihat rumah sewa mereka terbakar sepenuhnya.

“Kelmarin, atuk habis RM300 beli baju, seluar, kasut, buku dan beg sekolah saya, namun semuanya hangus dalam kebakaran ini,” katanya.

Sementara itu, Hanifah berkata, dia menyewa rumah itu pada kadar RM200 sebulan.

Katanya, selepas kejadian mereka menumpang di rumah tuan rumah itu yang bersimpati dengan nasib mereka.

“Saya menjaga Ilham selepas ibu dan bapanya berpisah dan kini saya harus berusaha mencari wang untuk membeli kelengkapan sekolahnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Saifuddin Mohamad berkata, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian jam 4.25 petang.

Beliau berkata, susulan itu, 10 anggota dengan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba, api marak membakar keseluruhan rumah papan terbabit.

Menurutnya, api dapat dikawal daripada merebak ke rumah bersebelahan tidak lama kemudian.

“Ketika kejadian, penghuni rumah terbabit tiada di rumah dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: December 26, 2018 @ 7:51pm
d