mutakhir

Jimat masa dua jam

Oleh Sharifah Mahsinah Abdullah

KUALA KRAI: Seramai 15,000 penduduk dari enam kampung di sini, yang dipisahkan dari kampung seberang oleh Sungai Kelantan, masih menggunakan feri sebagai pengangkutan utama ke bandar berdekatan.

Penduduk kampung itu bukan saja menggunakan feri sebagai pengangkutan, tetapi juga untuk aktiviti harian lain seperti memasarkan produk buah-buahan dan getah.

Kampung yang terbabit adalah Kampung Pasir Kelang, Kampung Pasir Kelang Baru, Kampung Buyong Darul Hijrah, Kampung Sungai Taku, Kampung Taku Estet dan Kampung Bahagia dan mereka menggunakan khidmat feri milik Koperasi Kampung Pasir Kelang Berhad.

Menurut pengerusi koperasi itu Mohamad Jaafar, feri yang mampu membawa sebanyak enam kereta, 20 motosikal dan penumpang, mula beroperasi pada 2013 dengan kos RM370,000.

Katanya, feri menjadi satu-satunya pilihan ekoran ketiadaan jambatan yang sepatutnya sudah lama dibina di situ.

“Sebelum ini penduduk hanya menggunakan bot enjin galah untuk menyeberangi Sungai Kelantan dari Pasir Kelang ke Kampung Pasir Era untuk ke pekan Kuala Krai.

“Dengan adanya perkhidmatan feri ini penduduk boleh menyeberangi dengan membawa kenderaan masing-masing dan juga hasil jualan mereka kerana kebanyakan penduduk adalah penoreh getah dan pekebun,” katanya ketika ditemui di jeti Kampung Era di sini.

Mohamad berkata dengan adanya feri beroperasi dari jam 7 pagi hingga 11 malam itu, dapat menjimatkan perjalanan sebanyak dua jam jika penduduk menggunakan jalan daratan untuk ke Pekan Tanah Merah atau Kuala Krai.

“Feri ini beroperasi setiap hari dan mengambil masa kurang lima minit perjalanan untuk menyeberangi sungai itu dengan jarak antara satu jeti ke satu jeti adalah lebih kurang 250 meter,” katanya.

Menurut Mohamad perkhidmatan feri ini kebiasaannya digunakan oleh pelajar dan guru sekolah, kakitangan klinik dan penduduk dengan tambang sebanyak RM1 bagi setiap orang dan RM1 juga untuk motosikal manakala RM5 bagi sebuah kereta.

“Penduduk bersyukur kerana dengan adanya feri ini ia amat membantu mereka terutama jika ada kecemasan di waktu malam.

“Bagaimanapun, penduduk masih berharap agar sebuah jambatan dibina merentasi sungai itu bagi menggantikan perkhidmatan feri,” katanya.

Sementara itu, seorang pengguna feri Mohd Fazri Satar, 34, berkata perkhidmatan itu amat penting kepada penduduk dari lima kampung itu sejak lima tahun lalu.

“Apabila musim banjir tiba dan air sungai itu menjadi besar, feri itu tidak akan beroperasi dan ini menjejaskan aktiviti harian penduduk.

“Ada antara mereka terpaksa menggunakan jalan jauh untuk ke bandar-bandar berhampiran,” kata peniaga kedai makan itu.

Disiarkan pada: December 27, 2018 @ 11:08am
d