mutakhir

Ku pendam sebuah rahsia...

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SELEPAS hampir setahun merahsiakan dirinya pernah dirogol kerana bimbang gambar separuh bogelnya disebar, pelajar Tingkatan Dua nekad melaporkan perbuatan terkutuk lelaki dikenalinya kepada polis.

Mangsa berusia 14 tahun mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Chukai kelmarin (Selasa) dipercayai selepas tidak sanggup terus diugut suspek berusia 22 tahun.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, kejadian dipercayai berlaku pada Disember tahun lalu apabila mangsa yang berada di rumahnya dihubungi suspek yang bertanya sama ada pelajar terbabit mahu ke kedai ibunya di Mak Chili, di Chukai.

Beliau berkata, mangsa kemudian memaklumkan dia mahu pergi ke kedai ibunya dan suspek bersetuju mahu menghantar pelajar terbabit sebelum dia tiba di rumah mangsa untuk menjemputnya tidak lama kemudian.

“Ketika dalam perjalanan, suspek ada meminta untuk memegang buah dada mangsa tetapi pelajar terbabit tidak membenarkan.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di kawasan Kampung Mak Chili, suspek memberhentikan kereta Perodua Myvi dan meminta melakukan hubungan seks, namun mangsa enggan menyebabkan suspek keluar daripada kereta.

“Suspek kemudian pergi ke tempat duduk penumpang dan bertindak merogol mangsa, selain turut mengambil beberapa gambar mangsa yang berada dalam keadaan separuh bogel,” katanya ketika dihubungi di Chukai, hari ini.

Mohd Said berkata, suspek mengugut mangsa supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada orang lain jika tidak mahu gambar separuh bogelnya disebarkan.

Katanya, selepas memuaskan nafsunya, suspek menghantar mangsa ke kedai ibunya.

“Susulan laporan dibuat, suspek berjaya ditahan di kawasan Mak Chili pada 11.50 malam hari yang sama dan kini direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

Disiarkan pada: December 27, 2018 @ 12:09pm
d