mutakhir

Mujur cepat keluar

Oleh Mohd Hilmie Hussin

PEMANDU terselamat apabila lori tangki terbakar di Kilometer 178.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, di Jasin, malam tadi.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, pemandu lori, Jayakanthan, 48, sempat memberhentikan lori sebelum terjun menyelamatkan diri.

Difahamkan, lori tangki 29 tan membawa muatan bitumen atau minyak tar itu dalam perjalanan dari Singapura ke Sungai Buloh, Selangor, sebelum secara tiba-tiba mengalami kebakaran pada bahagian kepala lori.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Soon Wee Kiang berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.43 malam sebelum sepasukan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bistari dengan dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Johor bergegas ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian pada 9.31 malam, anggota bomba mendapati kenderaan berat itu sudah terbakar 100 peratus dan tidak dapat diselamatkan.

“Bagaimanapun, kejadian tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: December 27, 2018 @ 3:25pm
d