mutakhir

Tengah pancing kena samun

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

WANITA berketurunan Siam yang sedang memancing di tepi sungai di Kampung Paya Lipai, Sungai Tiang, di Pendang, tergamam apabila ditolak lelaki tidak dikenali sehingga terjatuh ke dalam sungai sebelum suspek membawa lari motosikal Yamaha 135LC miliknya, kelmarin.

Dalam kejadian 3 petang itu, mangsa, 60, ke sungai berkenaan untuk memancing ikan, namun didatangi suspek berusia 20-an yang memanggilnya.

Ketua Polis Daerah Pendang Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian menghampirinya, tetapi secara tiba-tiba suspek menolaknya sehingga terjatuh ke dalam sungai.

Menurutnya, suspek kemudian terus membawa lari motosikal mangsa yang dianggarkan bernilai RM4,000.

“Mangsa yang terjatuh ke dalam sungai bagaimanapun terselamat dan mengalami lebam di tangan.

“Dia yang trauma dengan kejadian itu kemudian membuat laporan di balai polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Arriz Sham berkata, suspek yang membawa lari motosikal mangsa itu sudah dikenal pasti dan usaha memburunya kini sedang giat dijalankan.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: December 27, 2018 @ 5:15pm
d